Page 138 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 138
generasi pelajar hari ini supaya mampu menghadapi dan menangani cabaran-cabaran baharu
terutama tuntutan sebagai "knowledge worker" dalam era revolusi 4.0.
Guru merupakan golongan yang terlibat secara langsung melaksanakan pembelajaran
dan pemudahcaraan (PDPc) yang berkualiti bagi memastikan hasil-hasil pembelajaran yang
maksimum diperoleh oleh para pelajar. Oleh itu, guru perlu lebih kreatif dan inovatif untuk
memastikan sistem penyampaian ilmu menjadi lebih efektif, menarik, menyeronokkan serta
berupaya merangsang minat pelajar untuk belajar. Menurut Aziah Ismail, et. al., (2006) guru
merupakan agen pembelajaran yang berfungsi untuk meningkatkan kualiti pencapaian
akademik. Bagi memastikan guru dapat melaksanakan fungsinya dengan baik, antara syarat
yang guru wajib miliki ialah profesionalisme keguruan yang tinggi.
TINJAUAN LITERATUR
Kerjaya profesional memerlukan cara berfikir di luar kotak yang jauh berbeza dari amalan
berfikir secara rutin. Dalam konteks pendidikan hari ini, guru yang profesional juga perlu
memiliki kemampuan khusus yang tidak dimiliki oleh guru-guru lain. Sehubungan itu,
profesionalisme guru merujuk kepada kemampuan guru melaksanakan tugas-tugas hakiki
sebagai seorang pendidik khususnya dalam aspek merancang, melaksana dan mengevaluasi
pembelajaran.
Profesionalisme guru adalah konsep yang sering dirujuk dan kerap digunakan dalam
konteks pendidikan yang berbeza. Hustler dan Mc Intyre (2001) telah mengenal pasti beberapa
aspek penting berkaitan dengan profesionalisme yang perlu dikuasai oleh guru yang
profesional iaitu meliputi pengetahuan dan pemahaman terhadap pembelajaran kanak-kanak,
pengetahuan terhadap mata pelajaran, kurikulum, sistem pendidikan dan peranan sebagai guru.
Sebagai seorang yang profesional, guru juga memerlukan kemahiran seperti aplikasi subjek,
kaedah pengurusan bilik darjah, penilaian dan merekodkan serta menjalankan peranan yang
lebih luas berkaitan dengan profesionnya.
Robiah Sidin (2002) menyatakan bahawa guru yang profesional perlu mempunyai
enam konsep berikut iaitu kemampuan terhadap amalan profesionalisme dalam bilik darjah,
melaksanakan amalan profesionalisme di sekolah, tingkah laku secara profesional di bilik
darjah dan sekolah, bertanggungjawab untuk meningkatkan profesion, menerima latihan dan
pendidikan pembangunan yang profesional, dan bertanggungjawab sebagai agen reformasi
masyarakat. Oleh itu, keupayaan guru untuk meningkatkan profesionalisme secara berterusan
merupakan faktor asas yang boleh membantu melaksanakan peranan sebagai guru dengan
efisien.
Ying (2002) dalam kajiannya terhadap amalan reflektif peningkatan profesionalisme
guru menekankan kewajaran guru menguasai kemahiran dan pengetahuan yang terkini untuk
menjalankan tugas dengan lebih profesional. Guru sewajarnya meningkatkan profesionalisme
diri masing-masing secara berterusan. Profesionalisme diri merupakan hasil daripada suatu
proses pemikiran profesional dan tindakan dalam pembelajaran sepanjang hayat. Amalan
refleksi dapat memperkaya diri dan merangsang amalan profesional. Di samping itu, memberi
peluang kepada guru menganalisis diri serta menyedari tentang kekuatan dan kelemahan diri.
Dengan ini, guru dapat membuat pengubahsuaian serta memantapkan proses pengajaran dan
pembelajaran dengan lebih efektif. Day (1999) turut mencadangkan supaya guru perlu sentiasa
menyedari dan memperbaharui pengetahuan dan kemahirannya sesuai dengan keperluan
semasa. Peri pentingnya guru menguasai pengetahuan dan kemahiran terkini adalah untuk
memperlengkapkan diri sesuai dengan peranannya sebagai agen perubahan dalam
menyampaikan ilmu pengetahuan kepada para pelajar.
Aspek-aspek lain yang perlu ada pada seseorang guru yang profesional ialah memiliki
integriti dan kredibiliti yang boleh diteladani. Keperluan ini adalah wajar kerana peranan guru
128

