Page 139 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 139

bukan  semata-mata  menyampaikan  ilmu  pengetahuan  dan  informasi  tetapi  juga  meliputi
               peranan membimbing dan mendidik pelajar-pelajar supaya menjadi insan yang berbudi pekerti.
               Oleh itu, menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2009) untuk membolehkan seseorang guru
               berfungsi sebagai guru yang profesional dan berkesan, guru perlu mempunyai tahap amalan
               nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan
               pembelajaran yang tinggi.
                       Tanggungjawab utama  guru  yang profesional  ialah menyebarkan ilmu  pengetahuan
               dalam  kalangan  pelajar  di  sesebuah  institusi  pendidikan  sama  ada  di  peringkat  rendah,
               menengah atau pun tinggi. Di samping itu, guru tersebut mempunyai tanggungjawab penting
               terhadap pelajar, ibu bapa, masyarakat dan negara, rakan sejawat dan profesion perguruan.
               Namun,  tahap  profesionalisme  guru  masih  dipersoalkan  oleh  masyarakat  umum  sehingga
               terdapat pihak yang melihat profesion perguruan masih berada pada tahap status sosial yang
               rendah. Penyelidik-penyelidik seperti Robiah Sidin (2002); Mohd Hasani Dali, et. al., (2006);
               dan  Asmawati  Suhid,  et.  al.,  (2012)  mendapati  bahawa  terdapat  persepsi  umum  yang
               menganggap profesion keguruan hanya boleh dianggap sebagai suatu profesion minor, lebih
               bersifat semi profesional serta mempunyai tahap status sosial yang rendah dan tidak berprestij.
               Lantaran  itu,  profesion  keguruan  dianggap  mudah  diceburi  dan  tidak  memerlukan  banyak
               kemahiran khusus untuk menjadi seorang guru. Persepsi negatif masyarakat terhadap profesion
               perguruan  tersebut  wajar  diubah  dengan  meningkatkan  tahap  profesionalisme  guru-guru
               supaya  mampu  berfungsi  dengan  berkesan  dalam  meningkatkan  pencapaian  akademik  di
               sekolah.
                       Sehubungan itu, Mohammed Sani Ibrahim, et. al., (2008) yang telah membuat kajian
               dengan  melihat  cabaran-cabaran  dihadapi  oleh  guru  yang  lemah  dalam  perkembangan
               profesionalisme mendapati bahawa seseorang guru yang profesional perlu mempunyai ciri-ciri
               sebagai seorang yang berilmu (content knowledge); mempunyai kemahiran dan keterampilan
               dalam proses pengajaran dan pembelajaran (pedagogical knowledge and pedagogical content
               knowledge); dan mempunyai sahsiah yang boleh menjadi contoh teladan dan ikutan kepada
               golongan yang dipimpin iaitu pelajar. Di antara ciri sahsiah yang perlu dimiliki oleh seorang
               guru  ialah  peribadi  mulia  dan  mempunyai  komitmen  yang  tinggi  dalam  melaksanakan
               tanggungjawab hakiki.
                       Menurut Edmond dan Hayler (2013) pula, profesionalisme adalah kemahiran penting
               yang  menentukan  kejayaan  guru  dalam  menjalankan  tugasnya  sebagai  seorang  yang
               profesional. Pengkaji ini menyarankan garis panduan umum untuk meneroka profesionalisme
               guru berdasarkan tiga persoalan berikut iaitu: apa yang standard yang perlu dicapai oleh guru
               untuk  melaksanakan  pengajaran  yang  berkesan?  apakah  kemahiran  yang  diperlukan  untuk
               mengajar? dan apakah soalan yang ditanya untuk menguji pengetahuan pelajar?
                       Rumusan daripada perbincangan di atas menunjukkan peranan profesionalisme guru
               dalam  meningkatkan  pencapaian  akademik  sekolah  adalah  suatu  perkara  yang  tidak  boleh
               dipandang  ringan.  Kajian  oleh  Rosnah  Ishak,  et.al.,  (2013)  terhadap  amalan  pembelajaran
               dalam  kalangan  guru-guru  sekolah  berprestasi  tinggi  mendapati  bahawa  antara  faktor
               keberkesanan  pengajaran  guru  di  sekolah-sekolah  berkenaan  ialah  perlaksanaan  amalan
               berterusan secara tekal oleh pihak sekolah dalam meningkatkan profesionalisme guru-guru.
                       Dalam konteks kajian ini, penulis telah mengkaji pengaruh profesionalisme guru yang
               terdiri daripada sembilan dimensi  terhadap pencapaian akademik di  sekolah  yang merujuk
               kepada pencapaian Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 47 buah sekolah
               luar bandar yang masih termasuk dalam kategori sekolah berprestasi rendah (SPR) di negeri
               Sabah.




                                                           129
   134   135   136   137   138   139   140   141   142   143   144