Page 141 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 141
Soalan kajian
Kajian ini akan menjawab beberapa persoalan seperti berikut:
1. Apakah tahap profesionalisme guru-guru di sekolah-sekolah berprestasi rendah luar bandar?
2. Adakah terdapat pengaruh profesionalisme guru terhadap pencapaian akademik di sekolah
sekolah berprestasi rendah luar bandar?
Hipotesis Kajian
Berdasarkan objektif dan persoalan kajian yang dinyatakan di atas, pengkaji telah membina
hipotesis seperti berikut:
Tidak terdapat pengaruh profesionalisme guru terhadap pencapaian akademik di sekolah
sekolah berprestasi rendah luar bandar.
METODOLOGI
Dalam kajian ini, pendekatan kuantitatif digunakan kerana data yang diperoleh daripada
tingkah laku responden dihasilkan dengan menggunakan statistik. Populasi dan sampel kajian
adalah terdiri daripada guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah berprestasi rendah luar
bandar di Negeri Sabah. Pemilihan sampel kajian adalah menggunakan kaedah pensampelan
bertujuan dan rawak mudah. Borang soal selidik digunakan untuk mendapatkan data dan
maklumat daripada responden. Seramai 335 orang guru yang mengajar di sekolah-sekolah
berprestasi rendah luar bandar terlibat sebagai responden dalam kajian ini dan secara
keseluruhannya melibatkan sebanyak 47 buah sekolah. Pemilihan sampel kajian adalah
berdasarkan faktor-faktor bahawa sekolah-sekolah tersebut masih berada dalam kategori
sekolah berprestasi rendah (SPR) di mana pencapaian keseluruhan dalam peperiksaan Ujian
Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) masih berada pada tahap 50 peratus ke bawah.
DAPATAN
Tahap Profesionalisme Guru
Jadual 1 menunjukkan dapatan bagi profesionalisme guru yang terdiri daripada 8 dimensi
secara keseluruhannya. Nilai tahap min tertinggi bagi variabel profesionalisme guru ialah
dimensi mengamalkan kerja berpasukan dengan nilai skor min 4.36. Sementara nilai tahap min
terendah pula ialah dimensi kefahaman terhadap falsafah-falsafah terkini yang merupakan asas
perlaksanaan PDPc dengan nilai skor min 3.84. Nilai skor min keseluruhan bagi variabel ini
ialah 4.14 pada tahap tinggi berdasarkan interpretasi Creswell (2011). Berdasarkan analisis ini
menunjukkan bahawa amalan profesionalisme dalam kalangan guru-guru di sekolah-sekolah
luar bandar berada pada tahap tinggi.
131

