Page 140 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 140
Pernyataan Masalah
Kriteria utama yang digunakan untuk menentukan tahap keberkesanan sesebuah sekolah masih
berdasarkan kepada kecemerlangan dalam pencapaian akademik sekolah iaitu melalui
peperiksaan awam. Sehubungan itu, persepsi masyarakat terhadap konsep sekolah yang
berkesan masih merujuk kepada sekolah yang dapat memberi kesan dan pengaruh dalam
peningkatan pencapaian akademik sekolah. Pencapaian akademik sekolah dikaitkan pula
sebagai kesan daripada amalan pengajaran guru dalam bilik darjah.
Dalam konteks prestasi pencapaian akademik di negeri Sabah khususnya dalam Ujian
Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), secara kesimpulannya masih berada pada tahap yang
kurang memuaskan. Malahan, dalam jangka masa beberapa tahun kebelakangan ini
menunjukkan bahawa pencapaian UPSR di negeri ini masih berada dalam kedudukan terbawah
berbanding dengan negeri-negeri lain di negara ini (Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, 2015).
Kajian oleh Losius Goliong, et. al., (2018) juga mendapati bahawa prestasi pencapaian
peperiksaan UPSR di negeri Sabah masih kurang memuaskan dan antara faktor yang
mempengaruhinya ialah tahap kompetensi pedagogi guru yang berada pada tahap sederhana.
Fenomena pencapaian akademik sekolah yang masih rendah ini adalah antara faktor yang boleh
menjejaskan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan modal
insan berkualiti sesuai dengan hasrat wawasan Negara. Oleh sebab itu, kajian oleh Norazuan
Razali (2013) menyatakan bahawa peruntukan besar yang dibekalkan oleh kerajaan kepada
kementerian pendidikan setiap tahun dalam bajet tahunan seolah-olah belum nampak
korelasinya terhadap kecemerlangan prestasi akademik.
Sehubungan itu, beberapa pengkaji mengaitkan fenomena ini dengan fungsi dan
peranan guru di mana pencapaian penguasaan pelajar dalam akademik merupakan ukuran
kepada tahap profesionalisme guru yang terlibat secara langsung melaksanakan proses PDPc
di sekolah. Kajian oleh Mohd Ridhuan Mohd Jamil, et. al., (2014) mendapati bahawa guru-
guru yang mempunyai tahap profesionalisme tinggi mampu melahirkan pelajar yang
berketerampilan dan cemerlang. Kajian sebelumnya oleh Hallinger (2011) juga mendapati
bahawa peranan guru dalam melaksanakan pembelajaran dan pemudahcaraan (PDPc) yang
berkualiti menyumbang kepada peningkatan pencapaian akademik di sekolah. Implikasi
daripada fenomena kemerosotan prestasi pencapaian akademik ini menyebabkan timbul
keraguan dalam kalangan masyarakat terhadap keberkesanan guru dalam melaksanakan
tanggungjawab (Johnson, 2006; Packard, 2011).
Ekoran daripada pencapaian akademik dalam peperiksaan UPSR yang masih kurang
memberangsangkan, kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti tahap profesionalisme guru dan
pengaruhnya terhadap pencapaian akademik dengan memberi fokus kepada sekolah-sekolah
kebangsaan di luar bandar yang masih termasuk dalam kategori sekolah-sekolah berprestasi
rendah (SPR) sebagai sampel kajian. Profesionalisme guru dalam konteks kajian ini
dibahagikan kepada sembilan dimensi iaitu kecintaan terhadap profesion, berketerampilan,
integriti, teladan, mengamalkan kerja berpasukan, proaktif, kreatif dan inovatif, kefahaman
terhadap falsafah-falsafah terkini asas perlaksanaan PDPc, dan kefahaman terhadap strategi-
strategi PDPc serta pengaruhnya terhadap pencapaian akademik.
Objektif Kajian
Objektif-objektif kajian ini adalah seperti berikut:
1. Mengenal pasti tahap profesionalisme guru di sekolah-sekolah berprestasi rendah luar
bandar.
2. Mengenal pasti pengaruh profesionalisme guru terhadap pencapaian akademik di
sekolah-sekolah berprestasi rendah luar bandar.
130

