Page 144 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 144
PERBINCANGAN
Secara keseluruhannya, terdapat lapan dimensi profesionalisme guru dikaji dan analisis kajian
menunjukkan lima dimensi berada pada tahap tinggi dan tiga dimensi selebihnya berada pada
tahap sangat tinggi. Berdasarkan kepada objektif pertama kajian ini, daripada lima dimensi
yang berada pada tahap tinggi, tiga daripada dimensi tersebut iaitu kreatif dan inovatif,
kefahaman terhadap falsafah-falsafah terkini asas perlaksanaan PDPc dan kefahaman terhadap
strategi-strategi PDPc menunjukkan tahap profesionalisme yang rendah berbanding dimensi-
dimensi yang lain. Ketiga-tiga dimensi tersebut menunjukkan tahap kefahaman dalam
kalangan guru perlu ditingkatkan kerana ia berkait rapat secara langsung dengan tugas hakiki
guru sebagai pelaksana proses PDPc. Manakala, tiga dimensi profesionalisme guru yang
mencapai tahap sangat tinggi pula ialah berketerampilan, teladan dan mengamalkan kerja
berpasukan. Tahap profesionalisme bagi dimensi-dimensi ini perlu dipertahankan kerana ia
berkaitan dengan sikap positif dan komitmen guru dalam melaksanakan proses PDPc yang
berkualiti.
Walaupun dapatan kajian ini secara keseluruhannya menunjukkan tahap
profesionalisme guru berada pada tahap tinggi, namun kesannya terhadap pencapaian
akademik belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Dapatan kajian ini berkaitan dengan
kajian oleh Norazuan Razali (2013) yang menyatakan peruntukan besar dalam bajet kerajaan
setiap tahun kepada Kementerian Pendidikan Malaysia seolah-olah masih belum
menampakkan imbalan yang signifikan. Berdasarkan kajian ini, isu tersebut disebabkan oleh
faktor-faktor bahawa masih terdapat beberapa dimensi profesionalisme tersebut yang belum
dikuasai sepenuhnya oleh guru-guru. Dimensi-dimensi tersebut ialah kefahaman terhadap
falsafah-falsafah terkini yang diperkenalkan oleh KPM sebagai asas kepada perlaksanaan
PDPc yang berkualiti. Misalnya, kefahaman terhadap konsep Pembelajaran Abad Ke 21 (PAK
21), Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam PDPc
dan Profesional Learning Communities (PLC). Malah, pengenalan Program Transformasi
Sekolah 2025 (TS25) yang merupakan sebahagian daripada usaha KPM dalam meningkatkan
kemanjadian murid dan sekolah yang berkualiti masih menjadi suatu perkara yang kurang
penting dalam kalangan sebilangan warga pendidik (Noraziyanah Md. Jais & Aida Hanim A.
Hamid, 2019). Jika guru-guru mampu memahami dan menghayati sepenuhnya konsep-konsep
di atas, proses pembelajaran akan berlaku dengan berkesan. Pengetahuan dan kemahiran guru
terhadap konsep KBAT misalnya, sangat penting ekoran perubahan format baharu soalan
UPSR mulai Tahun 2016 yang mana terdapat soalan-soalan bercirikan KBAT dalam soalan-
soalan peperiksaan tersebut.
Sehubungan itu, guru-guru perlu mempunyai sikap terbuka untuk menguasai dasar-
dasar terkini yang diperkenalkan oleh KPM sebagai salah satu kaedah konsep pembelajaran
sepanjang hayat bagi peningkatan tahap profesionalisme secara kendiri. Ini disebabkan, latihan
ikhtisas selama beberapa tahun semata-mata di institut-institut pengajian tinggi tidak menjamin
bahawa seseorang guru itu sudah memiliki tahap profesionalisme yang mantap untuk selama-
lamanya. Sebaliknya, jika guru tidak berusaha meneroka dan menambah ilmu pengetahuan
selepas tamat latihan ikhtisas, ia akan ketinggalan dan profesion perguruan mungkin akan
kehilangan martabatnya. Amalan kerja berpasukan boleh membantu meningkatkan potensi,
kebolehan serta kemahiran guru yang akhirnya akan menyumbang kepada kecemerlangan
sekolah. Misalnya, amalan Profesional Learning Communities (PLC) bermanfaat untuk
meningkatkan profesionalisme guru di peringkat sekolah melalui perkongsian pengalaman dan
kepakaran dalam kalangan sesama guru (Brodie, 2014).
Bagi menjawab objektif kedua, dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa
profesionalisme guru mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap pencapaian akademik.
Analisis kajian menunjukkan dimensi kefahaman guru terhadap strategi PDPc, teladan,
134

