Page 150 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 150

Persepsi Guru Terhadap Panduan Pengajaran Dan Pembelajaran Program Intervensi
                                    Khas Murid Orang Asli Dan Peribumi (PIKAP)

                                                                     1
                                   Wan Nor Fadzilah Wan Husin, PhD , Baharin Yahaya   2
                                                                  2
                           1 Sektor Dasar dan Penyelidikan Kurikulum,  Sektor Kesenian dan Kesihatan,
                                             Bahagian Pembangunan Kurikulum
                                                                  2
                               1 wannor_fadzilah@yahoo.com.my,  baharin.bpk@gmail.com

                                                         Abstrak

               Program Intervensi Khas Murid Orang Asli dan Peribumi (PIKAP) telah dirangka khusus bagi
               menangani masalah tidak menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M)
               serta masalah ketidakhadiran ke sekolah dalam kalangan murid Orang Asli. Tujuan kajian ini
               adalah untuk meninjau persepsi guru terhadap kebolehlaksanaan Panduan Pengajaran dan
               Pembelajaran (PdP) PIKAP. Kajian ini menggunakan kaedah pensampelan bertujuan yang
               melibatkan 3 orang guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan
               Matematik Tahun 1 di 11 buah sekolah rendah yang terpilih.  Seramai 37 orang guru telah
               menjawab soal selidik yang terdiri daripada beberapa aspek iaitu kefahaman guru terhadap
               kandungan dalam Panduan PdP PIKAP, kesesuaian kandungan, penterjemahan kandungan
               dalam kelas, kebolehlaksanaan pentaksiran dan kesediaan prasarana. Data dianalisis secara
               deskriptif iaitu skor min dan sisihan piawai dengan menggunakan program SPSS Windows
               versi 22.0. Dapatan menunjukkan semua aspek yang dikaji berada pada tahap tinggi kecuali
               aspek kesediaan prasarana yang berada pada tahap sederhana. Dapatan ini menunjukkan
               kebolehlaksaan  penggunaan  Panduan  PdP  PIKAP  namun  untuk  memastikan  kelancaran
               penggunaannya, aspek persediaan prasarana perlu ditambah baik.

               Kata kunci: orang asli, peribumi, intervensi, kemahiran 3M, pedagogi peribumi



                                                    PENGENALAN

               Pelan  Pembangunan  Pendidikan  Malaysia  (2013-2025),  Kementerian  Pendidikan  Malaysia
               (KPM) akan memastikan murid berkeperluan khas seperti murid Orang Asli dan Peribumi
               mempunyai peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan yang relevan dengan keperluan
               mereka.  Untuk  merealisasikan  hasrat  ini,  KPM  telah  melaksanakan  beberapa  inisiatif.
               Antaranya ialah pembentukan dan pembangunan kurikulum kontekstual iaitu Kurikulum Asli
               dan Penan (KAP). KAP telah bermula secara rintis pada tahun 2007 di enam buah Sekolah Asli
               dan peluasan ke 20 buah SK Asli dan Penan pada tahun 2008 (Rahman, 2008). Selaras dengan
               KSSR pada tahun 2011, KAP dipeluaskan kepada SK Asli dan Penan yang berada di band 6
               dan 7 bagi Tahap Satu manakala bagi Tahap 2, Modul PdP KAP bagi empat mata pelajaran
               iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik telah disediakan. Sehingga 2018,
               KAP telah melalui satu kitaran lengkap pelaksanaan, dan UPSR 2018 menunjukkan pencapaian
               murid-murid Orang Asli dan Penan.
                       Secara umum, peningkatan keberhasilan kualiti pencapaian pendidikan Murid Orang
               Asli dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) boleh dilihat melalui peningkatan murid
               mencapai tahap minimum yang baik berbanding tahun 2017. Murid yang mencapai sekurang-
               kurangnya  D  bagi  semua  mata  pelajaran  dalam  UPSR  2018  meningkat  kepada  26.1%
               berbanding  20.2%  pada  tahun  2017.  Walau  bagaimanapun,  jika  dibandingkan  dengan
               pencapaian peringkat kebangsaan, peratusan ini amatlah rendah di mana purata kebangsaan
               menguasai tahap minima UPSR 2018 adalah 65.9% (KPM, 2019a). Jurang pencapaian yang

                                                           140
   145   146   147   148   149   150   151   152   153   154   155