Page 146 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 146
penting yang juga perlu diambil perhatian ialah kualiti latihan yang akan dilalui oleh calon-
calon guru tersebut di institusi-institusi pengajian tinggi. Berdasarkan dapatan kajian ini, sudah
sampai waktunya sistem latihan dan kurikulum pendidikan guru di institusi-institusi pengajian
tinggi (IPT) disemak semula. Kaedah latihan yang diamalkan sekarang lebih banyak berfokus
kepada teori dalam bilik kuliah dan kurangnya pendedahan kepada guru-guru pelatih dalam
persekitaran dan budaya sebenar di sekolah. Menurut Khairul Anwar Abu Bakar (2014) tempoh
latihan praktikum yang perlu dijalani oleh guru pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) ialah
antara empat hingga dua belas minggu bagi melengkapkan diri kepada empat komponen iaitu
perancangan, pelaksanaan, amalan refleksi serta sikap dan sahsiah guru pelatih. Walau pun
amalan perlaksanaan praktikum telah mengalami pelbagai perubahan, namun sumbangannya
terhadap perkembangan pendidikan guru masih menjadi topik perbahasan dan ulasan kritikan
sejak tahun 1980-an (Elligate, 2007; Roslan Saadon, et. al., (2013) dalam Muhaya Salleh
(2016). Terdapat juga beberapa kajian lepas mendapati bahawa amalan praktikum yang dilalui
oleh bakal-bakal guru tidak mampu sepenuhnya dalam proses transisi peranan sebagai guru
pelatih kepada guru sebenar di sekolah (Grudnoff, 2011).
Kaedah pembelajaran yang praktikkan untuk pelajar-pelajar doktor perubatan di mana
sebahagian besar pembelajaran dalam tempoh pengajiannya berbentuk latihan praktikal di
hospital berbanding di bilik kuliah mungkin boleh dijadikan sebagai panduan. Konsep
pembelajaran tersebut boleh dipraktikkan dalam konteks latihan perguruan dengan
memberikan peluang kepada guru-guru pelatih mendapatkan pengalaman dengan menjalani
latihan praktikal selama setahun di sekolah bandar dan kemudiannya setahun lagi di sekolah
pedalaman. Di samping itu, dalam jangka masa latihan praktikal tersebut, guru-guru pelatih
wajar diberi peluang memegang jawatan tertentu di sekolah sebagai salah satu aspek penilaian
semasa latihan praktikum. Perlaksanaan latihan praktikal dalam tempoh yang lebih panjang di
sekolah juga membolehkan guru-guru pelatih berpeluang melaksanakan amalan terbaik dalam
konteks kajian tindakan (KT) sebagai salah satu syarat lulus dalam latihan praktikum tersebut.
Dengan kaedah ini, dapat membantu memantapkan profesionalisme guru pelatih berkenaan
dan bersedia untuk ditempatkan di mana-mana sekolah selepas tamat pengajian. Konsep latihan
guru seumpama ini boleh dipraktikkan dalam memastikan standard profesionalisme guru yang
dinyatakan dalam Model Standard Guru Malaysia dapat direalisasikan.
Trend di negara-negara maju untuk melahirkan guru yang profesional sebenarnya
terletak pada peranan yang dimainkan oleh IPTA seperti di Jepun, Finland, Korea, Jerman serta
Singapura (Abdul Rashid Mohamed, 2014). Di Singapura misalnya, guru pelatih akan
menerima 60 peratus daripada gaji guru semasa program latihan dan wajib berkhidmat
sekurang-kurangnya 3 tahun sebagai guru. Guru-guru akan diberi pendedahan tentang
Kurikulum Singapura sama ada melalui program diploma atau ijazah pertama. Di samping itu,
National Institute of Education (NIE) turut menjalinkan hubungan dengan sekolah dan institusi
pendidikan lain bagi tujuan mendapatkan mentor bagi membantu guru-guru novis selama
beberapa tahun. Selanjutnya, guru perlu menjalankan 100 jam kredit untuk perkembangan
profesionalisme setiap tahun yang boleh dilaksanakan melalui pelbagai cara seperti mengikuti
program khusus dalam sesuatu subjek dan pedagogi yang boleh membawa kepada ijazah lebih
tinggi. Selebihnya, dilaksanakan melalui latihan dalam perkhidmatan di peringkat sekolah (B-
Y Sim, 2009). Pengalaman-pengalaman negara-negara maju tersebut boleh diadaptasi
mengikut kesesuaian di negara ini bagi melahirkan guru-guru yang mempunyai tahap
profesionalisme tinggi serta sentiasa relevan dengan perubahan-perubahan semasa.
Bagi memantapkan kualiti profesionalisme guru secara berterusan, mungkin terdapat
keperluan pihak KPM menyemak semula syarat kelayakan minima untuk perlantikan sebagai
guru tetap berdasarkan kepada perkembangan dan keperluan semasa. Salah satu syarat yang
boleh dipertimbangkan oleh KPM ialah menetapkan supaya kelayakan minima untuk
memasuki kerjaya sebagai guru tetap mestilah sekurang-kurangnya memiliki kelayakan
136

