Page 29 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 29

mempunyai  pengetahuan  yang  baik  terhadap  KBAT  dan  membuktikan  bahawa  mereka
               mengambil peduli tentang pelaksanaan dasar dalam sistem pendidikan negara.  Dapatan ini
               selaras dengan hasil kajian yang dijalankan oleh Wan Ismail et al. (2016) yang mendapati tahap
               pengetahuan guru-guru Pendidikan Islam terhadap KBAT berada pada tahap tinggi. Begitu
               juga dapatan kajian yang dijalankan oleh Mohd Aderi, Mohd Talhah dan Engku Zarihan (2017)
               yang menunjukkan pengetahuan guru Pendidikan Islam dalam melaksanakan KBAT berada
               pada tahap tinggi. Walau bagaimanapun, masih wujud ruang penambahbaikan bagi para guru
               untuk  mengukuhkan  lagi  pengetahuan  berkenaan  KBAT.  Guru  seharusnya  lebih  peka  dan
               mempersiapkan diri dengan pengetahuan berteraskan kemahiran berfikir kerana hal ini dapat
               menjamin suasana pembelajaran yang lebih kreatif (Norhaya, 2015).
                       Daripada kesemua item yang terkandung di bawah konstruk pengetahuan guru, item
               mengetahui penguasaan dan aplikasi KBAT merupakan kemahiran untuk memenuhi keperluan
               abad 21 mencatatkan skor min yang paling tinggi manakala item menguasai ciri-ciri soalan
               item KBAT yang digunakan dalam pentaksiran pula mencatatkan skor min yang paling rendah.
               Item mengetahui penguasaan dan aplikasi KBAT sebagai keperluan abad 21 membuktikan
               bahawa  guru  menyedari  bahawa  pelaksanaan  KBAT  adalah  seiring  dengan  tuntutan  dan
               perkembangan pendidikan semasa. Dapatan ini menyokong pendapat Yen dan Halili (2015)
               serta  Vijayaratnam  (2012)  yang  menyatakan  bahawa  KBAT  adalah  kemahiran  yang  perlu
               dimiliki oleh setiap individu bagi mendepani tuntutan dunia tanpa henti pada masa kini. Selain
               itu, dapatan ini juga membuktikan para guru mempunyai penguasaan ilmu berkenaan konsep
               KBAT dan bersedia untuk mengimplementasikannya dalam proses pembelajaran.
                       Item menguasai ciri-ciri soalan item KBAT mendapat skor min yang paling rendah. Hal
               yang demikian ini menjelaskan bahawa para guru masih belum memiliki pengetahuan yang
               secukupnya  untuk  menggunakan  soalan-soalan  aras  tinggi  dalam  membuat  penilaian  dan
               pentaksiran terhadap murid. Perkara ini selaras dengan dapatan kajian Abdullah et al. (2017)
               yang menunjukkan tahap pengetahuan guru dalam aspek pentaksiran berada pada tahap rendah.
               Walaupun begitu, hasil kajian ini berbeza dengan dapatan yang diperoleh Norasmahani et al.
               (2015) yang menyatakan kefahaman pembinaan item KBAT dan kefahaman penilaian guru
               Pendidikan Islam merekodkan tahap yang tinggi. Perbezaan ini dilihat berlaku akibat daripada
               faktor demografi murid di sekolah pedalaman dan bandar. Guru Pendidikan Islam di sekolah
               pedalaman menghadapi kesukaran dalam membuat penilaian terhadap murid kerana jurang
               pendidikan yang wujud akibat daripada perbezaan tahap keupayaan murid itu sendiri (Abdul
               Rasid et al., 2010).
                       Kajian yang dijalankan juga mendapati tahap amalan penerapan KBAT dalam kalangan
               guru  Pendidikan  Islam  di  sekolah  rendah  pedalaman  Zon  Utara  Sabah  berada  pada  tahap
               sederhana tinggi. Perkara ini menunjukkan bahawa para guru melaksanakan amalan pengajaran
               berunsurkan KBAT dalam proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Dapatan ini selari dengan
               hasil kajian yang dijalankan oleh Norasmahani et al. (2015) yang menunjukkan pelaksanaan
               pengajaran yang menerapkan KBAT dalam kalangan guru Pendidikan Islam berada pada tahap
               sederhana. Justeru itu, para guru seharusnya meningkatkan amalan penerapan KBAT dalam
               pelaksanaan pembelajaran di dalam bilik darjah menerusi pendekatan pembelajaran yang lebih
               berkesan.
                       Terdapat tiga item yang mencatat skor min paling tinggi di bawah konstruk amalan
               pengajaran  guru  iaitu  item  merancang  objektif  pembelajaran  yang  sesuai  dengan  aras
               pemikiran murid, diikuti dengan item menggalakkan murid untuk mengemukakan pendapat
               dan  membuat  keputusan  serta  item  melibatkan  murid  secara  aktif.  Ketiga-tiga  item  ini
               menunjukkan bahawa guru berjaya merancang proses pembelajaran yang menerapkan unsur
               KBAT  di  samping  berupaya  melaksanakan  pembelajaran  berpusatkan  murid.  Perkara  ini
               seiring dengan dapatan kajian yang dijalankan oleh Mohd Syaubari dan Ahmad Yunus (2017)
               yang melaporkan amalan pengajaran guru Pendidikan Islam pada peringkat awal pengajaran
                                                           19
   24   25   26   27   28   29   30   31   32   33   34