Page 23 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK
P. 23
J u r n a l P e n y e l i d i k a n A k a d e m i k I P G M J i l i d 5 / 2 0 2 0 | 16
graduan yang kreatif serta mampu untuk berfikir kritis tanpa mengira disiplin ilmu.
Untuk menghadapi cabaran era Revolusi Industri 4.0, pendidikan perlu menyediakan
pelajar dan graduan yang kompeten dan berdaya saing. Golongan ini perlu
memperoleh kemahiran teknologi sebagai langkah menghadapi cabaran Revolusi
Industri 4.0 agar tiada golongan masyarakat yang terpinggir dalam era globalisasi dan
digital ini. Justeru, sistem pendidikan perlu beradaptasi dengan perkembangan
automasi yang semakin pesat dewasa ini. Menurut Forum Ekonomi Dunia, pekerjaan
rutin seperti juruwang dan pemegang akaun yang melibatkan kerja-kerja perakaunan,
pengauditan, pengebilan dan pengkeranian; berkemungkinan besar fungsinya kelak
akan diganti dan diambil alih oleh penggunaan sistem, mesin ataupun robot. Ini
bermakna sifat pekerjaan masa akan datang akan berubah disebabkan ledakan
Revolusi Industri 4.0. Natijahnya, pelajar masa kini akan menghadapi masalah untuk
mendapatkan pekerjaan pada masa hadapan.
Graduan yang tidak bersedia di dalam pasaran kerjaya yang berasaskan
penggunaan jentera dan teknologi akan ketinggalan dalam perebutan kerjaya. Ini
adalah kerana, para majikan dalam Revolusi Industri 4.0 memerlukan sumber
manusia yang profecient dalam menggunakan pengetahuan dan menguasai
perubahan teknologi. Di samping itu, penggunaan data secara globalisasi, pembinaan
robot genius, pemanduan secara kendiri dan sebagainya akan menyebabkan
penggunaan sumber manusia di dalam indusri semakin mengecil dan diganti dengan
mesin. Untuk menghadapi cabaran ini, sistem pendidikan perlu melahirkan pelajar
yang lebih bersifat kreatif dan inovatif dalam proses penyelesaian masalah dan
mampu mereka cipta sesuatu yang baharu. Terdapat tiga kemahiran paling utama
dalam Industri 4.0 iaitu kemahiran belajar yang terdiri daripada belajar kendiri, dan
kemahiran digital; kemahiran berfikir yang terdiri daripada berfikir secara kreatif,
berdaya tahan, semangat ingin tahu dan yang terakhir adalah kemahiran
menyelesaikan masalah. Lantaran itu, para graduan yang dihasilkan dituntut untuk
menguasai kemahiran-kemahiran ini supaya dapat berdaya saing dalam pasaran
kerja era semasa.
PERNYATAAN MASALAH
Guru memegang peranan yang kritikal untuk menjayakan pencapaian murid mengikut
aspirasi pendidikan yang dihasratkan (Maulana, Helms-Lorenz, & van de Grift, 2015).
Oleh demikian guru perlu bersedia melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran
dan kecekapan untuk menambah baik kaedah pengajaran, menguasai teknologi yang
diperlukan, membina suasana pembelajaran yang kondusif, dan mewujudkan
hubungan antara guru dengan murid yang mesra dalam proses pembelajaran.
Pelibatan murid dalam pembelajaran dapat meningkatkan keberhasilan murid dan
memaksimumkan pencapaian murid (Karacop, 2016). Justeru itu, kemahiran dan
kecekapan yang dimiliki guru dapat membawa kepada penyampaian pembelajaran
secara berkesan dan pada akhirnya dapat memaksimumkan pencapaian murid.

