Page 30 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK
P. 30
J u r n a l P e n y e l i d i k a n A k a d e m i k I P G M J i l i d 5 / 2 0 2 0 | 23
PERBINCANGAN
Peranan guru dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains melalui
pendekatan STEM untuk menyediakan murid memenuhi tuntukan Revolusi Industri
4.0 adalah amat kritikal. Persepsi dan amalan guru dalam pelaksanaan STEM serta
tanggapan mereka terhadap peranan masing-masing dalam pendidikan Sains ke arah
Revolusi Industri 4.0 boleh dilihat sebagai petunjuk terhadap kesediaan dan
kesungguhan guru untuk menyahut cabaran menggunakan pendekatan STEM untuk
menyediakan murid-murid berhadapan dengan cabaran Revolusi Industri 4.0.
Kepercayaan atau persepsi seseorang guru mempengaruhi proses pemikiran, amalan
bilik darjah dan kesediaan seseorang guru itu terhadap perubahan pada dirinya
(Richardson, 1994; Guo, Justice, Sawyer, & Tompkins, 2011). Justeru itu,
kepercayaan guru merupakan faktor dalaman yang menyumbang kepada kesediaan
seseorang guru itu untuk melaksanakan perubahan terhadap amalannya dalam bilik
darjah seperti pengajaran sains berasaskan STEM yang dituntut oleh Revolusi Industri
4.0 pada masa kini.
Secara umum, persepsi guru sekolah rendah yang ditinjau adalah positif
terhadap pendekatan STEM dan amalan STEM di sekolah. Walau bagaimanapun,
guru opsyen Sains mempunyai persepsi dan amalan lebih positif berbanding guru
bukan opsyen Sains. Dapatan ini tidak menghairankan kerana guru opsyen Sains
seharusnya mempunyai kefahaman lebih mendalam dan lebih menghayati
kepentingan pendekatan STEM dalam pendidikan STEM berbanding guru bukan
opsyen Sains. Guru opsyen Sains yang mempunyai latihan ikhtisas dalam pendidikan
Sains dijangka dapat lebih mahir dan lebih kerap menggunakan pendekatan STEM
dalam pengajaran dan pembelajaran Sains. Perbezaan antara guru opsyen Sains dan
bukan Sains dalam kajian ini juga pernah dilaporkan dalam mata pelajaran lain seperti
bahasa Inggeris and Matematik. Noor Hayati & Mohd Sallehhudin (2015), mendapati
amalan mengajar bahasa Inggeris antara guru opsyen bahasa Inggeris dan guru
bukan opsyen bahasa Inggeris adalah berbeza. Kajian Noziati, Effandi dan Nooriza
(2016), mendapati guru bukan opsyen Matematik mengalami keresahan mengajar
mata pelajaran bukan opsyen mereka. Keresahan guru menyebabkan mereka
mengajar secara tradisional dan seterusya menjejaskan pembelajaran murid.
Guru novis dan guru berpengalaman adalah berbeza dari segi pengetahuan,
kemahiran dan kepercayaan. Richards dan Farrell (2005), mencirikan guru
berpengalaman sebagai pendidik yang mempunyai landasan pengetahuan yang lebih
luas dan mampu mengintegrasikan pengetahuan daripada pelbagai disiplin. Guru
berpengalaman boleh menggunakan pengalaman luasnya untuk menyiasat dan
menyelesaikan pelbagai cabaran dalam pengajaran, serta mempunyai kesedaran
lebih tinggi tentang konteks pembelajaran. Selain itu, guru yang telah lama mengajar
juga lebih cekap dan fleksibel dalam perancangan pembelajaran. Ciri-ciri guru
berpengalaman tersebut menerangkan dapatan kajian ini yang menunjukkan guru

