Page 91 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK
P. 91
J u r n a l P e n y e l i d i k a n A k a d e m i k I P G M J i l i d 5 / 2 0 2 0 | 84
d. Cadangan penambahbaikan projek
Dapatan kajian juga memberikan cadangan penambahbaikan dalam aspek teknologi,
kolaborasi, komitmen/kemahiran individu, perancangan dan pelaksanaan projek,
serta penyediaan sokongan sumber dan pemahaman awal projek oleh pensyarah.
Antara komen tentang aspek penambahbaikan teknologi adalah ‘memastikan capaian
Internet yang baik di setiap sekolah’ dan ‘menggunakan sistem yang boleh dimainkan
melalui telefon pintar’, respons yang signifikan tentang aspek kolaborasi pula,
‘perkongsian idea dan maklum balas daripada pelbagai pihak’ dan ‘komitmen daripada
setiap ahli kumpulan mestilah konsisten’. Bagi menambah baik projek, antara
cadangan yang diterima adalah ‘lebih mengkhususkan topik dan latihan yang perlu
bagi sasaran kumpulan pengguna’, ‘pelaksanaan secara langsung terhadap target
projek’, ‘integrasikan projek bersama mata pelajaran lain seperti pentaksiran’ serta
‘meneliti matlamat pengajaran yang hendak dicapai diikuti perancangan yang teliti’.
Terdapat juga komen lain yang signifikan seperti petikan respons yang berikut:
Saya dapati pelbagai input serta NPDL merupakan satu usaha yang sangat
baik kerana saya dapat melihat output yang lebih jelas jika dibandingkan
dengan tugasan subjek secara berasingan. Terima kasih kepada (nama
pensyarah) atas tunjuk ajar dan bimbingan. Saya berharap agar ia dapat
diteruskan selepas ini.
(Sumber: Petikan respons S12)
PERBINCANGAN
Pada keseluruhannya, boleh dirumuskan bahawa pelaksanaan projek NPDL ini telah
berjaya menerapkan elemen 6C (komunikasi, pemikiran kritis, pemikiran kreatif,
kolaborasi, karakter dan sahsiah serta kenegaraan) dalam proses pembelajaran yang
dialami oleh 15 orang siswa pendidik PDPP Bahasa Jepun pada tahap yang tinggi
dengan purata skor min bagi keenam-enam elemen melebihi skor skala 8. Walau
bagaimanapun, seperti yang telah dinyatakan di atas, elemen yang memperoleh skor
min terendah adalah bagi pemikiran kreatif (8.37). Dapatan Ini adalah selaras dengan
kajian lampau di mana penguasaan pemikiran kreatif dalam kalangan pelajar didapati
masih rendah (Nehe, Surya, & Syahputra, 2017). Borodina, Sibgatullina dan
Gizatullina (2019) pula mendapati bahawa hanya sepertiga daripada 390 siswa
pendidik dalam kajian mereka menunjukkan pemikiran kreatif pada tahap tinggi.
Dapatan ini memberikan gambaran bahawa siswa pendidik mungkin kurang
berkeyakinan dan atau kurang selesa dengan daya pemikiran kreatif mereka.
Sehubungan dengan itu, pemupukan atau pemantapan aspek pemikiran kreatif masih
boleh ditambah baik dalam projek ini melalui penambahan aktiviti-aktiviti yang berdaya
merangsang pemikiran kreatif. Hal ini adalah kerana kemahiran pemikiran kreatif amat

