Page 94 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK
P. 94
J u r n a l P e n y e l i d i k a n A k a d e m i k I P G M J i l i d 5 / 2 0 2 0 | 87
penggunaan aplikasi dan sumber digital yang sesuai serta menyelami pengetahuan
serta pemahaman mereka terhadap pilihan dan perancangan isi kandungan aktiviti
projek mereka. Dengan kejayaan pelaksanaan projek NPDL ini, mereka telah dapat
mengaplikasikan pengetahuan yang telah diperoleh secara cuba jaya sehingga
berjaya mencipta sesuatu yang bermakna bagi diri mereka sendiri. Pendek kata,
melalui pelaksanaan projek NPDL semasa pandemik Covid 19, siswa pendidik telah
dipupuk dengan kompetensi relevan yang diperlukan ke arah melahirkan insan yang
kreatif dan berkemampuan untuk menyelesaikan masalah serta berkemampuan
menyesuaikan diri seiring dengan desakan (demand) era Volatility, Uncertainty,
Complexity dan Ambiguity (VUCA).
KESIMPULAN
Fokus pedagogi baharu adalah terhadap pengajaran cara pembelajaran. Objektif
utama bukan lagi pembelajaran fakta tetapi berfokus kepada mengapa sesuatu
pengetahuan atau kemahiran diperlukan dan di mana sumbernya. Dengan erti kata
lain, projek NPDL yang dilaksanakan semasa pandemik COVID-19 telah mendesak
siswa pendidik menumpukan fokus yang lebih mendalam terhadap pembelajaran
demi kemenjadian guru bahasa Jepun yang berkesan, khususnya dalam kemahiran
menerap elemen 6C dalam PdPc mata pelajaran Bahasa Jepun sekolah menengah.
Walau bagaimanapun, tahap kejayaan ataupun keberkesanan projek ini dalam
konteks pembelajaran mendalam bergantung kepada sejauh manakah pembelajaran
telah dan akan terus dibina di sekitar setiap individu mengikut pilihan peribadi masing-
masing seperti di mana dan bagaimana untuk belajar. Di samping itu, prestasi
pembelajaran individu akan diukur dan dijejaki berdasarkan data peribadi yang dijana
daripada pilihan pembelajaran masing-masing. Penekanan juga perlu diberikan dan
terus dilanjutkan kepada pembelajaran secara berkolaboratif berdasarkan
perkongsian pembelajaran dan aspirasi komuniti pelajar tersebut. Usaha perlu
dipergiatkan juga untuk mereka bentuk semula kurikulum pendidikan guru dengan
menerapkan pedagogi transformatif untuk menyediakan siswa pendidik hari ini agar
mereka dapat mengajar dan belajar di dalam bilik darjah masa hadapan.

