Page 110 - JURNAL PENYELIDIKAN ILMU PENDIDIKAN 2021
P. 110
J u r n a l P e n y e l i d i k a n A k a d e m i k I P G M J i l i d 6 / 2 0 2 1 | 102
sederhana (Abdul Ghani & Ying-Leh, 2016; Aziah & Al Amin, 2019; Aziah et al., 2016)
dan sederhana tinggi (Noor Hashimah et al., 2019).
Salah satu penjelasan yang logik dan kelihatan ketara bagi peningkatan
dapatan tahap tingkah laku inovatif guru dalam kajian ini adalah berkemungkinan
disumbangkan oleh faktor responden yang digunakan. Berbeza dengan kajian lepas
yang menggunakan responden yang terhad kepada guru sekolah menengah,
responden kajian ini dilihat mempunyai latar belakang yang lebih pelbagai dengan
52.7% atau 746 orang daripada keseluruhan responden ialah mereka daripada
golongan guru sekolah rendah. Perbezaan ini dilihat mempunyai kebarangkalian
dalam menerangkan fenomena yang berlaku. Walaubagaimanapun, penjelasan ini
memerlukan kajian yang lebih lanjut untuk dilakukan pada masa hadapan bagi
membuat pengesahan yang lebih kukuh secara empirikal.
Selain itu, salah satu penjelasan lain yang mungkin boleh menerangkan
tentang peningkatan tahap tingkah laku inovatif guru dalam kajian ini adalah
berkenaan dengan situasi semasa yang sedang berlaku dalam dunia pendidikan di
Malaysia ini sendiri. Sejak kebelakangan ini, pengkaji melihat wujud pelbagai usaha
yang telah dilakukan oleh KPM untuk menggalakkan inovasi secara khusus bagi
tujuan meningkatkan kualiti sistem pendidikan. Antara usaha nyata yang dilakukan
adalah dengan memperkenalkan pelbagai program dan inisiatif bagi menggalakkan
guru menghasilkan inovasi atau sesuatu yang baharu untuk memudahkan kaedah
pengajaran dan pembelajaran. Pertandingan Kreativiti dan Inovasi (CIC) misalnya
telah diadakan setiap tahun untuk menggalakkan pembudayaan dan penghasilan
inovasi dalam kalangan guru (Maszlee, 2019). Usaha giat yang dilakukan KPM seperti
ini secara tidak langsung mungkin telah mendorong kepada tingkah laku yang lebih
inovatif dalam kalangan guru secara sedikit demi sedikit.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, walaupun skor purata bagi tingkah laku inovatif guru dalam
kajian ini adalah tinggi, namun perhatian masih tetap perlu diberikan kerana peratusan
guru yang mencapai tahap tinggi masih belum cukup memuaskan. Peratusan guru
yang hanya mencapai tahap sederhana dilihat agak tinggi. Pihak bertanggungjawab
perlu melihat dengan lebih mendalam berkenaan fenomena ini. Perhatian berkenaan
kefahaman tentang punca dan isu yang boleh menjejaskan tahap tingkah laku inovatif
dalam kalangan guru perlu diberi keutamaan. Kefahaman yang mendalam berkenaan
fenomena ini pastinya akan membantu untuk memahami halangan yang wujud bagi
guru untuk mencapai tahap tingkah laku inovatif yang lebih tinggi. Melalui kefahaman
yang mendalam ini juga, tindakan-tindakan proaktif serta usaha yang berterusan boleh
diambil bagi memastikan lebih ramai guru mempunyai tahap tingkah laku inovatif yang
lebih tinggi pada masa hadapan.

