Page 158 - JURNAL PENYELIDIKAN ILMU PENDIDIKAN 2021
P. 158
J u r n a l P e n y e l i d i k a n A k a d e m i k I P G M J i l i d 6 / 2 0 2 1 | 150
Rajah 2: Kerangka Kerja Pedagogi untuk Alatan Digital
Berdasarkan Rajah 2, guru mendorong perspektif pelajar yang berbeza
mengenai mata pelajaran dalam pengajaran polifonik. Manakala alatan digital
digunakan untuk menyokong kolaborasi dalam penghasilan pengetahuan. Kerangka
kerja ini menunjukkan bahawa kompetensi pemanfaatan digital adalah signifikan
dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran terutama dalam aktiviti
kolaboratif bagi mencipta pengetahuan.
Bell (2018) melalui Model Kerangka Kerja Pembelajaran Dinamik menegaskan
kepentingan menggunakan alatan digital bagi melakukan perkara baharu dan bukan
ke atas perkara lama sekadar untuk mengurangkan penggunaan kertas. Beliau telah
mencadangkan penggunaan alatan digital bagi tujuan mendapatkan maklumat
baharu, menghasilkan persekitaran pembelajaran interaktif, mendapatkan maklum
balas tepat pada masanya, dan pelaksanaan aktiviti kolaboratif secara segera.
Cadangan ini adalah sejajar dengan Kolb (2017) yang menekankan kepentingan
berlakunya penglibatan terhadap aktiviti dan matlamat pembelajaran, pengembangan
pembelajaran dan perluasan pembelajaran dalam penggunaan alatan digital bagi
memastikan objektif pembelajaran dapat dicapai. Berasaskan kerja Bell (2018) dan
Kolb (2017; 2020), didapati kompetensi dalam pelbagai perisian aplikasi yang sesuai
untuk kegunaan aktiviti pembelajaran tertentu adalah amat diperlukan bagi mencapai
matlamat pembelajaran.
Kajian ini berasaskan kepada Model Kapasiti Pedagogi Pembelajaran
Bermakna (Fullan, Quinn, & McEachen, 2018) sepertimana ditunjukkan pada Rajah 3
dan Kerangka Kerja 3E (Kolb, 2018) sepertimana ditunjukkan pada Rajah 4.

