Page 129 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM 2021
P. 129

JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM
              JILID 6/2021




              sokongan yang berkualiti tinggi bagi memacu prestasi sekolah mahupun institusi
              pendidikan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Sehubungan itu, KPM
              berusaha mempersiapkan pemimpin terbaik, dengan menyediakan Standard
              Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM) sebagai panduan kepada
              pengetua (KPM,  2006). Ianya dimantapkan lagi dengan Model KOMPAS
              (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2010), dan seterusnya kursus Kelayakan
              Profesional Kebangsaan  bagi  Pemimpin  Pendidikan  (NPQEL).  Namun begitu,
              SKKSM, KOMPAS  dan  NPQEL  amat  berfokus  kepada  kepimpinan  pengetua
              atau bakal pengetua sahaja, berbanding kelompok keseluruhan kepimpinan yang
              ada di dalam institusi pendidikan.

              Kepimpinan pendidikan bukanlah tertumpu kepada pemimpin utama organisasi
              sahaja, sebaliknya skop kepimpinan ini turut melibatkan peranan penting
              pemimpin pertengahan (De Nobile, 2018; Ekaterini, 2011; Irvine & Brundrett,
              2017). Pemimpin pertengahan menjadi pemain utama (key person) kerana
              mereka adalah penghubung antara pemimpin atasan dengan kakitangan yang lain
              (Abang Adam, 2018; Abd Razak, 2017; Ding, Kuo & Tai, 2019; Grootenboer,
              2018; Bassett & Shaw, 2018). Namun, peranan mereka sering ‘terperangkap’ di
              tengah-tengah organisasi khususnya dalam memenuhi arahan dari pemimpin
              atasan dan menjaga kepentingan rakan sejawat (Way, et al., 2018). Situasi ini
              menyebabkan tugas mereka menjadi kompleks kerana perlu melaksanakan kerja-
              kerja pentadbiran, mengurus kurikulum, mengurus polisi semasa dan
              memastikan keberhasilan pelajar (Tay, et al., 2019; Grootenboer, et.al., 2014).
              Oleh  itu,  kompetensi  mereka perlu dibangunkan (Park & Luo, 2017) bagi
              membolehkan mereka memainkan peranan penting dalam kecemerlangan
              institusi pendidikan (Abd. Razak, 2017; McKenzie & Varney, 2018).


              KAJIAN LITERATUR

              Konsep Kompetensi

              Kompetensi  berasal daripada perkataan  competency  iaitu kemampuan atau
              kecekapan. Terma kompetensi turut diterjemahkan kepada pelbagai situasi dan
              menggambarkan satu keadaan perlakuan (tingkah laku), kecekapan, kelayakan
              mahu pun keupayaan seseorang dalam melakukan sesuatu tugas. Kecekapan
              yang    dipamerkan ini dapat dinilai sama ada secara kualitatif mahupun
              kuantitatif, dan dapat mewujudkan satu hasilan (outcome)  yang disasarkan
              (Guillen & Saris, 2013). Selain itu, kompetensi turut dinyatakan sebagai perilaku
              individu yang rasional untuk mencapai tujuan yang dikehendaki oleh organisasi
              melangkaui tahap pendidikan dan keintelektualan (Prasertcharoensuk, et al.,
              2015). Pada sisi yang lain, kompetensi juga boleh dirujuk sebagai keupayaan
              dalam melakukan tugas berdasarkan pengetahuan, keterampilan, etika dan
              kemampuan (Brozova, et. al., 2018). Manakala, pandangan yang lebih popular
              berkaitan kompetensi merujuk kepada satu pengalaman, kebijaksanaan dan

                                                                                   124
   124   125   126   127   128   129   130   131   132   133   134