Page 131 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM 2021
P. 131
JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM
JILID 6/2021
dan menjadi pemimpin kepada pegawai di bawah kawalan mereka. Teori
kepimpinan pertengahan memperlihatkan bahawa sesebuah organisasi yang
kompleks sememangnya memerlukan lebih dari seorang pemimpin yang boleh
bekerjasama di semua peringkat organisasi (Floyd & Wooldridge, 2000).
Semakin kompleks sesebuah organisasi, maka semakin banyak lapisan
kepimpinan pertengahan yang perlu diwujudkan bagi melicinkan perjalanan
organisasi. Pelbagai lapisan kepimpinan ini dapat dilihat dalam organisasi
multinasional (Boyatzis, 1982; 2008) termasuklah organisasi pendidikan.
Organisasi pendidikan memiliki beberapa struktur kepimpinan yang berlapis-
lapis di peringkat sekolah, daerah, negeri dan KPM sendiri. Keunikan pemimpin
pertengahan yang berfungsi sebagai guru yang masih mengendalikan sesi PdP
dan mereka juga adalah pemimpin pendidikan, menjadikan mereka berada pada
situasi strategik yang memberi kesan langsung terhadap kecemerlangan
organisasi (Grootenboer, 2018; Teh, et al., 2020). Pemimpin pertengahan yang
dilantik akan berusaha melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik
mungkin. Namun, mereka berhadapan dengan beberapa kekangan antaranya
termasuklah tersepit antara melaksanakan arahan pengurusan tertinggi dengan
mengekalkan hubungan dengan rakan sejawat (Branson, et.al., 2015; Tay, et al.,
2019). Sebagai pemimpin instruksional, mereka masih perlu mengajar mengikut
jadual di samping melaksanakan tugas-tugas pengurusan (Abd. Razak, 2017;
Grootenboer, 2018; Gurr, 2018). Perkara ini menyebabkan mereka tidak dapat
fokus kepada satu pekerjaan sebagaimana pendidik yang lain (Grootenboer,
2018). Pemimpin pertengahan di institusi pendidikan juga perlu merancang
aktiviti, menyelia rakan sejawat, menyediakan kertas cadangan, mengendalikan
mesyuarat unit atau jabatan dan menyediakan pelbagai laporan berkaitan unit
atau jabatan yang diterajuinya. Mereka belum diklasifikasikan sebagai pemimpin
senior dalam organisasi. Mereka bukan pengetua atau guru besar, malahan
memiliki autoriti yang terhad (Belasen & Belasen, 2018; De Nobile, 2018, Wei,
2018).
PENYATAAN MASALAH
Pemimpin pertengahan perlu melaksanakan tugas pengurusan dan melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran (PdP) berbanding rakan sekerja lainnya yang tiada
tanggungjawab pengurusan (De Nobile, 2018). Dengan kata lain, pemimpin
pertengahan dalam dunia pendidikan masih bertanggungjawab untuk mengajar
dan pada masa yang sama memiliki jawatan khusus (Bassett & Shaw, 2018;
Grootenboer, 2018; Gurr, 2018) namun kuasa yang mereka miliki adalah terhad
dan tidak jelas (Belasen & Belasen, 2016; Franken, et al., 2012; Grootenboer,
2018; Gurr, 2018). Situasi ini menyebabkan wujud jurang kompetensi dalam
kalangan pemimpin pertengahan khususnya dalam kemahiran mengurus,
kemahiran teknikal, kepimpinan, kemahiran interpersonal dan perubahan
persekitaran (Kaur & Kumar, 2013).
126

