Page 73 - MODUL SEM 2 2021 (2)_Neat
P. 73
Modul Sejarah STPM
Semester 2 /2021
Kuasa-kuasa Barat menjalankan konspirasi memusnahkan empayar Turki dengan
meniupkan fahaman nasionalisme sempit dan berpuak-puak sehingga mereka
berjaya menggugat kestabilan politik empayar Uthmaniyah. Dasar ini akhirnya melemahkan kesatuan
ummah sejak sekian lama dinaungi oleh Khalifah Uthmaniyah dan memudahkan kuasa Barat
menghancurkan kekuatan empayar Uthmaniyah yang dianggap ancaman utama kepada pengaruh
Kristian Eropah.
4. Konflik Sempadan Uthmaniyah dan Rusia
Konflik sempadan antara Rusia dan Austria-Hungry dengan wilayah Uthmaniyah merupakan faktor
perluasan kuasa Barat ke atas empayar Uthmaniyah. Perluasan kuasa Rusia terhadap Kerajaan
Uthmaniyh pada 1877-1878 kerana keazaman Rusia untuk mendapatkan semula wilayah-wilayahnya
yang terlepas dalam Perang Crimea. Kejayaan Rusia dalam perang seterusnya menyebabkan
kerajaan Uthmaniyah kehilangan banyak wilayahnya termasuk Serba, Montenegro dan Caucasus.
5. Kelemahan Pemerintah Uthmaniyah
Kelemahan kepimpinan dan pentadbiran menyumbang kepada kehancuran kerajaan Uthmaniyah.
Kepimpinan kerajaan dikuasai ibu dan isteri sultan (harem) atau kelompok tertentu dalam istana serta
kebergantungan sistem birokrasi kepada kemampuan sultan dalam mengendalikan pemerintahan
menjadikan institusi politik tidak memenuhi tuntutan semasa. Ia membuka peluang kepada golongan
elit politik merebut kuasa demi kepentingan peribadi.Akhirnya kerajaan terpaksa tunduk kepada
tekanan kuasa Barat dan melaksanakan tanzimat mengikut acuan Barat dalam menghadapi pelbagai
bidang termasuk pentadbiran dan sosial. Wilayah kekuasaan yang luas merangkumi wilayah di Asia,
Afrika dan Eropah merumitkan keadaan, ditambah dengan sistem pemerintahan yang lemah dan tidak
teratur. Wilayah yang luas didiami pelbagai bangsa dan kerajaan memerlukan kecekapan pentadbiran.
B. Faktor ekonomi
1. Revolusi Perindustrian
Kepentingan ekonomi merupakan salah satu faktor penting gerakan perluasan kuasa- kuasa Barat ke
atas wilayah Islam Uthmaniyah. Perkembagan Revolusi Industri di Eropah pada abad ke-18
meningkatkan tekanan terhadap keperluan memiliki tanah jajahan yang mempunyai kekayaan hasil
bumi. Para pelabur Eropah menyokong gerakan perluasan kuasa bagi memenuhi keperluan kilang-
kilang dan dapat meluaskan pasaran produk industri kuasa-kuasa besar.
2. Keperluan bahan mentah
Menjelang abad ke-18M, kuasa Barat memerlukan bahan mentah. Britain memerlukan arang batu
untuk menghidupkan enjin., lokomotif dan kapal laut berkuasa wap. Para pemodal Eropah telah
menanam modal di wilayah-wilayah Uthmaniyah termasuk di Afrika Utara dengan membuka ladang,
lombong, mengimport buruh dan sebagainya. Pemodal Perancis telah berjaya menguasai Algeria,
wilayah Uthmaniyah yang kaya raya dengan sumber bumi. Penemuan minyak mentah di Iraq dan Iran
menambahkan minat kuasa-kuasa Barat meluaskan tanah jajahan. Mereka menggunakan pelbagai
helah untuk mendapatkan konsesi cari gali minyak. Kepentingan minyak dalam Revolusi Perindustrian
mencetuskan persaingan antara negara- negara Eropah dalam usaha menguasai wilayah Uthmaniyah.
Tindakan Jerman memasuk perlumbaan merebut harta kekeyaan kerajaan Uthmaniyyah
membimbangkan kuasa- kuasa Barat yang lain. Awal abad ke-20 M, persaingan menguasai sumber
minyak semakin ketara apabila banyak kawasan petroleum, ditemui di Arab Saudi, Kuwait dan Bahrain.
3. Kepentingan Terusan Suez
Kepentingan Terusan Suez menyebabkan kuasa Barat berusaha menguasai wilayah Uthmaniyah,
khasnya Mesir. Menguasai Terusan Suez bermakna menguasai jalan perdagangan dua hala terpenting
dunia dan secara langsung dapat menambahkan kekayaan negara. Terusan Suez menjadi pilihan
pedagang Asia dan Barat kerana ia menjimatkan masa dan kos tanpa perlu mengelilingi benua Afrika.
74

