Page 42 - PBD Plus BM T4 (EG)
P. 42

Bahasa Melayu  Tingkatan 4  Penulisan


             Bersatu teguh, bercerai roboh merupakan peribahasa  yang besar maknanya untuk dipraktikkan
             oleh manusia sejagat demi mencapai kesejahteraan hidup. Tuntasnya, cogan kata ini menggesa
             seluruh anggota masyarakat agar bersatu dan berganding bahu dalam kehidupan seharian. Sikap
             ini diterjemahkan apabila kita melakukan sesuatu pekerjaan, menyelesaikan sesuatu masalah,
             dan  menjayakan  sesuatu  agenda.  Hakikatnya,  banyak  manfaat  yang  kita  peroleh  daripada
             amalan ini.
                  Dalam situasi penduduk negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, kita haruslah
             menghayati dan mempraktikkan peribahasa ini. Hal ini penting demi mencapai kemajuan negara
             dan membina sebuah negara yang aman dan damai. Oleh itu, semua pihak haruslah berusaha
             untuk memupuk semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat. Semangat ini haruslah
             dimulakan dalam kalangan jiran tetangga khususnya di bandar yang semangat kejiranannya
             dikatakan semakin luntur. Jiran amat penting bagi kita yang tinggal di bandar kerana jauh
             daripada  keluarga dan kaum kerabat, jadi jiranlah yang menjadi saudara-mara kita yang terdekat.
                                 Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd
             Tuntasnya, melalui hubungan yang erat dengan jiran-jiran, pelbagai masalah sosial dapat kita
             tangani, bak kata pepatah jiran sepakat membawa berkat.
                  Konsep bersatu teguh, bercerai roboh dapat dijayakan menerusi aktiviti gotong-royong.
             Melalui aktiviti ini, sesuatu pekerjaan dapat dilaksanakan secara beramai-ramai dan memudahkan
             kerja tersebut. Misalnya, aktiviti masyarakat bergotong-royong untuk menghapuskan tempat
             pembiakan nyamuk Aedes. Menerusi aktiviti ini, masalah denggi di kawasan tersebut dapat
             dikurangkan. Hal ini sejajar dengan peribahasa kita, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
             Selain itu, menerusi aktiviti gotong-royong itu, banyak yang dapat dijimatkan seperti masa dan
             wang perbelanjaan. Malahan, hubungan sesama masyarakat juga menjadi semakin erat hasil
             pergaulan dan interaksi semasa aktiviti gotong-royong tersebut. Ringkasnya, amalan gotong-
             royong dapat membentuk masyarakat yang bersatu padu.
                  Dalam bidang pentadbiran pula, sama ada di sektor swasta atau di sektor kerajaan,
             semangat bersatu dalam kalangan pekerja banyak maslahatnya. Menerusi perpaduan tersebut,
             produktiviti sesebuah organisasi dapat ditingkatkan. Malahan, kerjasama kumpulan juga semakin
             meningkat. Oleh itu, majikan haruslah sentiasa berusaha untuk meningkatkan perpaduan dalam
             kalangan pekerjanya. Hal ini dapat dilakukan melalui program hari keluarga, program pembinaan
             semangat berpasukan, dan karnival sukan. Dengan itu, tidak hairanlah bahawa syarikat-syarikat
             gergasi sanggup berbelanja besar untuk menjalankan program-program tersebut dalam usaha
             memperkukuh perpaduan dalam kalangan pekerja. Hal ini dikatakan demikian kerana impak
             daripada program tersebut akan diperoleh semula melalui peningkatan produktiviti dan
             keuntungan yang mencanak tinggi.
                  Pada peringkat nasional, memang tidak kita nafikan bahawa semangat bersatu padu itu
             amat penting sekali. Misi dan visi yang dirancangkan oleh kerajaan untuk memajukan negara
             bukan setakat memerlukan kerjasama rakyat, malahan kerajaan dan rakyat harus berganding
             bahu bak aur dengan tebing untuk menjayakannya. Kerajaan tanpa rakyat tidak akan bermakna
             sama sekali. Demikian juga, rakyat tanpa kerajaan tidak membawa sebarang makna. Oleh hal
             yang demikian, kerjasama antara kerajaan dengan rakyat akan memudahkan usaha untuk
             meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.  Tambahan pula, negara sekarang sedang
             mengalami  masalah  ekonomi.  Oleh  sebab  itu,  rakyat  harus  bersama-sama  kerajaan  untuk
             memulihkan ekonomi negara agar kembali mapan dan perkasa.
                  Tuntasnya, peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh merupakan teras utama dalam
             menjanakan sesuatu kejayaan. Semua pihak daripada segenap lapisan masyarakat haruslah
             menyingsing lengan dan mengorak langkah bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan
             rakyat. Kejatuhan Melaka pada tahun 1511 harus menjadi iktibar kepada kita tentang bahayanya
             perpecahan yang boleh mengundang penjajahan asing.


           © Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.              92
   37   38   39   40   41   42   43   44   45   46   47