Page 45 - PBD Plus BM T4 (EG)
P. 45

Bahasa Melayu  Tingkatan 4  Penulisan

               Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Mereka memiliki segala
               ramuan untuk membantu kejayaan anak-anak. Sejarah membuktikan tokoh-tokoh hebat yang
               muncul dalam sejarah dunia datangnya daripada ibu bapa yang begitu prihatin terhadap
               kejayaan anak-anak mereka. Ibu bapa itu mungkin miskin harta benda tetapi kaya dari segi
               semangat, disiplin, motivasi, dan dorongan sehingga mampu memacu tenaga dalaman anak
               untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Oleh yang demikian,  terdapat pelbagai peranan yang
               dapat dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu kejayaan anak-anak.
                   Peranan utama yang mesti dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai
               kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran adalah dengan membina sebuah rumah tangga yang
               bahagia dan harmoni. Hal ini dikatakan demikian kerana kehidupan yang bahagia dan harmoni
               akan membina perasaan bahagia dan selamat dalam kalangan anak. Mereka berasa gembira
               berada di rumah dan bersyukur kerana memiliki ibu bapa yang menyayangi mereka. Hal ini akan
               membentuk semangat dalam kalangan anak. Hal ini sangat berbeza daripada anak-anak yang
               lahir dan membesar dalam keluarga yang berantakan. Mereka berasa tertekan semasa berada di
                                 Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd
               rumah. Mereka bimbang pertengkaran ibu bapa akan berlaku sehingga mengganggu tumpuan
               mereka untuk belajar. Jelaslah bahawa rumah tangga yang harmoni menyumbang kepada
               kecemerlangan anak-anak dalam pelajaran.
                   Selain itu, ibu bapa juga mestilah bertanggungjawab untuk memantau pergaulan anak-anak
               dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang
               besar dalam kehidupan harian dan masa depan mereka. Hal ini demikian kerana, anak-anak lebih
               mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan. Dalam kebanyakan
               keadaan, anak-anak lebih mempercayai dan meyakini rakan daripada ibu bapa sehingga mereka
               sukar untuk membezakan perkara yang baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak
               bergaul dengan rakan yang bermasalah, biasanya mereka juga akan bermasalah. Bagi menangani
               masalah ini, ibu bapa mestilah mengambil tahu akan personaliti rakan-rakan baik anak-anak dan
               segera mengambil tindakan jika anak mereka mula berubah kepada perlakuan yang negatif.
                   Seterusnya, ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan
               agama yang secukupnya. Pendidikan agama perlu diterapkan kepada anak-anak sejak kecil
               lagi sejajar dengan pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungya. Pendidikan sejak kecil
               biasanya akan lebih lama terpahat dalam sanubari dan perlakuan anak-anak. Hal ini sangat
               berbeza jika pendidikan diberikan ketika anak sudah meningkat remaja. Namun begitu, nasihat,
               bimbingan, dan dorongan ke arah kebaikan perlu selalu diberikan oleh ibu bapa kepada
               anak-anak tanpa mengira usia. Ringkasnya, jangan dibiarkan anak tandus dengan siraman motivasi
               dan perhatian kerana ini boleh menjadikan anak kehilangan panduan dalam kehidupan mereka.
                   Di samping itu, ibu bapa juga hendaklah selalu bertukar-tukar pendapat dengan
               anak-anak tentang sesuatu perkara. Aktiviti ini bukan sahaja dapat membuahkan sesuatu
               keputusan yang lebih baik, malahan dapat mengeratkan hubungan ibu bapa dengan anak-anak.
               Pendapat anak-anak haruslah didengar dan diberikan perhatian oleh ibu bapa terutama yang
               melibatkan diri anak-anak itu. Jangan sesekali ibu bapa bersikap kuku besi terhadap anak-anak.
               Hal ini akan menjadikan anak-anak berasa tertekan, tiada kebebasan dalam menentukan hala
               tuju mereka, dan hilang keyakinan diri. Jadi ibu bapa mestilah bersedia untuk menjadi pendengar
               yang baik kepada anak-anak. Kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama supaya segala
               masalah yang ditanggung mereka tidak terperap dan membengkak dalam hati mereka.
                   Kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan yang amat signifikan untuk membantu
               kejayaan anak-anak. Dengan itu, ibu bapa hendaklah gigih dan tekun untuk memainkan peranan
               itu. Peribahasa kita ada mengatakan, bagaimana acuan, begitulah kuihnya yang menggambarkan
               sikap ibu bapa akan mempengaruhi kejayaan anak-anak.




                                                          95                        © Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.
   40   41   42   43   44   45   46   47   48   49   50