Page 37 - MODUL Impresif Sejadah Rindu Tingkatan 5 ( 2 SVM )
P. 37

SEJADAH RINDU]  Tingkatan 5 / 2 SVM

                                              CINTA AHMAD MUTAWAKKIL
                                                    Zainal Rashid Ahmad

               SINOPSIS

                      Pengarang  mengimbas  kembali  peristiwa  yang  berlaku  ketika  rakyat  di  negara  ini  menuntut
               kemerdekaan daripada penjajah. Pengarang memperkenalkan watak Ahmad Mutawakkil yang muncul secara
               tiba-tiba di pintu surau kampungnya sebaik-baik sahaja para penduduk selesai menunaikan solat maghrib secara
               berjamaah. Ahmad Mutawakkil muncul dalam keadaan cedera parah dan pakaiannya dipenuhi dengan darah
               dan lumpur. Situasi yang mencemaskan ini menimbulkan kejutan dan tanda tanya kepada  Imam Ngah  Deraman,
               Penghulu Ibrahim Sigap, dan seluruh makmum di surau kampung itu.  Ahmad Mutawakkil ialah anak angkat
               kepada Imam Ngah Deraman.

                      Perkembangan cerpen dimulai dengan pemerihalan kisah kampung penulis yang telah dibuka sejak tiga
               generasi yang terdahulu. Selepas itu, bermula pertengahan tahun 30-an, Tuan Booth sekeluarga telah datang ke
               kampung itu untuk meneroka belukar dengan mengupah beratus-ratus orang buruh untuk menanam pokok
               getah. Kemudian diikuti dengan kedatangan 15 keluarga buruh berketurunan India yang bekerja di estet getah
               milik Tuan Booth. Tuan Booth dan keluarganya menjalinkan hubungan yang baik dengan penduduk kampung .

                      Kisah diteruskan dengan pengenalan watak Ahmad Mutawakkil yang menumpang banglo Tuan Booth
               serta berpeluang belajar membaca dan menulis, termasuk bahasa Inggeris daripada Sandra, anak tuan punya
               estet getah itu setelah kematian bapanya Wak Sadir. Pada tahun 1941, Jepun telah menyerang Tanah Melayu
               menyebabkan  kampung  itu  tidak  tenteram.  Walau  bagaimanapun  kampung  yang  terletak  agak  jauh  dari
               kawasan  perang  menyebabkan  tiada  penduduk  kampung  yang  diseksa  oleh  Jepun.    Kedatangan  Jepun
               menyebabkan Tuan Booth sekeluarga terpaksa meninggalkan estetnya. Hidup Ahmad Mutawakkil terbiar dan
               diambil menjadi anak angkat oleh Imam Ngah Deraman. Ketika itu Ahmad Mutawakkil baru berusia 15 tahun.
               Dua tahun selepas Jepun menjajah, Ahmad Mutawakkil bekerja di bandar sebagai pembaca dan penjawab surat-
               surat rahsia daripada Inggeris kepada kumpulan anti-Jepun.

                      Setelah dua tahun bekerja di bandar, Ahmad Mutawakkil pulang ke rumah Imam Ngah Deraman untuk
               memberitahu bahawa Hiroshima dan Nagasaki telah dibom dan Jepun menyerah kalah.  Penduduk kampung
               gembira dengan pengunduran Jepun, tetapi Ahmad Mutawakkil mengingatkan penduduk kampung bahawa
               matlamat  perjuangan  mereka  adalah  untuk  memerdekakan  Tanah  Melayu.  Ketokohan  Ahmad  Mutawakkil
               sebagai pejuang nasionalis Melayu terserlah khususnya melalui sesi pidato dan penulisannya dalam akhbar.
               Ahmad  Mutawakkil  menjadi  penyampai  maklumat  terkini  kepada  orang  kampung.  Ahmad  Mutawakkil
               memberitahu orang kampung, Dato’ Onn telah berjaya menubuhkan PEKEMBAR bagi menentang Inggeris. Pihak
               Inggeris akhirnya membatalkan Malayan Union. Dalam diam Sandra menyimpan perasaan kasih kepada Ahmad
               Mutawakkil.

                      Pembabitan Ahmad Mutawakkil dalam perjuangan menimbulkan kerisauan kepada Penghulu Ibrahim
               Sigap  dan  Imam  Ngah  Deraman.  Malah  Tuan  Booth  juga  pernah  diancam  oleh  pengganas  komunis  agar
               menasihati  Ahmad  Mutawakkil  tidak  menghasut  rakyat  membenci  idealogi  komunis.  Akhirnya  perjuangan
               Ahmad Mutawakkil tiba ke puncak apabila didatangi oleh seorang budak lelaki di surau pada malam Jumaat
               selepas menyampaikan ceramah. Rentetan peristiwa tersebut membawa kepada kehilangan Ahmad Mutawakkil
               sehingga menimbulkan kerisauan kepada penduduk kampung termasuk Sandra. Penduduk kampung mencari
               Ahmad Mutawakkil di merata-rata tempat tetapi gagal.

                      Akhirnya, Ahmad Mutawakkil pulang dengan kesan tembakan dan meninggal dunia di ribaan Imam
               Ngah Deraman akibat tembakan tiga butir peluru yang menembusi belakang bahunya dari jarak dekat. Pada 31
               Ogos 1957 penduduk kampung mengadakan majlis doa kesyukuran sebagai tanda meraikan kemerdekaan tanah
               air dan bacaan tahlil mengenang perjuangan Ahmad Mutawakkil. Seminggu selepas kemerdekaan, Tuan Booth
               dan keluarganya balik ke England. Setahun kemudian Sandra datang ke kampung itu semula dan kekal di situ
               menyumbang  bakti  mengajar  anak-anak  penduduk  kampung  membaca  dan  menulis.  Situasi  ini  kerana
               kenangannya dan kasihnya kepada Ahmad Mutawakkil tidak pernah padam.



                                                                               azan ab latif GCBM KVWT   37
   32   33   34   35   36   37   38   39   40   41   42