Page 42 - MODUL Impresif Sejadah Rindu Tingkatan 5 ( 2 SVM )
P. 42
SEJADAH RINDU] Tingkatan 5 / 2 SVM
HIPERTENSI
Illias Zaidi
SINOPSIS
Cerpen Hipertensi memaparkan watak utama, Aiman Aqil seorang remaja genius tetapi nakal, gagap
dan sering berimaginasi. Aiman sedang berehat di rumah banglo keluarganya yang terletak di lereng bukit yang
sudah gondol akibat kerja-kerja penerokaan dan pembangunan tanah. Ketika usia Aiman lapan tahun, Aiman
mampu menyelesaikan masalah matematik tingkatan lima dan sering mengejek adik-adiknya yang sedang
membuat latihan matematik. Ketika sebiji mempelam gugur di hadapannya, Aiman teringat kembali peristiwa
Cikgu Faridah mengajarnya dan murid-murid sekelasnya yang lain berkaitan dengan Teori Graviti yang
dicetuskan oleh Isaac Newton. Dalam sesi pengajaran subjek Sains tersebut, berlaku perdebatan idea antara
Aiman dengan Cikgu Faridah tentang teori graviti dan kaitannya dengan alam sejagat. Aiman selalu memberikan
jawapan berunsur jenaka sehingga suasana di dalam kelas itu menjadi riuh. Cikgu Faridah menggelar Aiman
sebagai profesor disebabkan kepintarannya dan dia mempunyai daya berfikir yang tinggi serta matang
berbanding dengan rakan-rakannya yang lain.
Di dalam kelas, Aiman sering menimbulkan kemarahan gurunya kerana tidak menumpukan perhatian
terhadap pembelajaran di dalam kelas. Dia sering berangan-angan menjadi tokoh-tokoh hebat dalam bidang
Sains. Aiman mudah bosan dengan cara pembelajaran di sekolah menyebabkan dia sering ponteng sekolah. Hal
ini menimbulkan kemarahan ayahnya sehingga dia kerap dirotan dan ditampar. Aiman sentiasa mengambil
kesempatan untuk mewujudkan halusinasi futuristik penuh cabaran. Dia pernah membayangkan dirinya telah
lulus pengajian tinggi dalam bidang aeroangkasa. Walaupun Aiman sering berhalusinasi, namun dia mempunyai
prinsipnya yang tersendiri dan tidak mahu berlagak seperti Mat Jenin dan Si Luncai. Angan-angan Aiman terus
mekar apabila dia terus berhalusinasi menjalani latihan intensif di bawah program aeroangkasa di bawah
kerajaan Rusia. Ketika itu, Aiman seolah-olah sedang berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa sedangkan dia
sebenarnya berada di atas pokok kelapa.
Aiman mengimbas kembali layanan kasar babah terhadap dirinya. Dia menjadi gagap kerana selalu
ditampar oleh babahnya. Kemudian Aiman teringat pula kisah Paul Broca, iaitu pakar antropologi yang telah
berjaya mengatasi masalah gagap melalui teknologi perlakuan. Bagi Aiman, ayahnya patut mempelajari teori itu
supaya dapat bertindak lebih mesra dengannya.
Ketika Aiman berhalusinasinya, dia teringat akan bisikan halus yang didengarinya ketika dia berada di
planet bulan. Aiman terdengar bisikan supaya dia lebih mendekati Allah. Akhirnya, Aiman sedar daripada
khayalannya bahawa dia kini berada dalam proses meningkat remaja yang antara cirinya ialah sering
memberotak dan mengalami krisis identiti diri. Dia perlu berusaha untuk mendapatkan sesuatu dan bukannya
sekadar berangan-angan sahaja. Jauh di sudut hati Aiman, dia memanjatkan doa dan harapan ke hadrat Ilahi
dan akan mengatasi masalah gagapnya dengan kekuatan diri sendiri.
TEMA
Keinginan yang tinggi dalam bidang sains angkasa. Hal ini ditunjukkan oleh watak utamanya, Aiman Aqil yang
sering membayang tentang angkasa lepas dan membayangkan dirinya berada dalam suasana di angkasa. Dia
menjadikan sebatang pokok kelapa dara di penjuru banglo ayahnya sebagai tempat berlepas ke angkasa dengan
sebuah kapal angkasa.
PERSOALAN
• Persoalan kerakusan manusia terhadap alam.
Aiman melihat bukit di hadapan banglo bapanya di lereng cerun bukit yang telah ditarah dan digondol untuk
pembangunan.
azan ab latif GCBM KVWT 42

