Page 52 - MODUL Impresif Sejadah Rindu Tingkatan 5 ( 2 SVM )
P. 52
SEJADAH RINDU] Tingkatan 5 / 2 SVM
DRAMA BUKAN GILA
SHARIF SHAARY
SINOPSIS DRAMA:
ADEGAN I
Azmir sedang dirawat di wad sakit jiwa. Sewaktu di wad tersebut, Azmir menyatakan hujan dan
matahari telah mendatangkan kemudaratan kepada manusia seperti menyebabkan banjir dan kemarau. Dia
menghargai ibu dan bapanya kerana melahir dan membesarkannya sehingga mengenal kehidupan ini. Azmir
juga menghargai jasa nelayan, buruh dan petani yang menghadiahkan hidup yang selesa kepada manusia. Dalam
kesakitan, Azmir berkhayal akan kehadiran kekasihnya, iaitu Ani. Dalam dialognya dengan kekasihnya itu, Azmir
telah meminta Ani membawanya keluar dari wad sakit jiwa tersebut demi kebahagiaan mereka berdua.
Kemudian, Azmir berkhayal lagi tentang kehadiran ayahnya. Beliau bertanyakan khabar Azmir tetapi
Azmir memanggil Ani untuk mengusir ayahnya. Ayahnya mengatakan bahawa beliau sayang akan Azmir tetapi
Azmir mengatakan bahawa ayahnya berbohong lalu berlaku pertelingkahan antara Azmir dengan ayahnya
sehingga munculnya khayalan tentang Pak Haji datang dan memberikan salam. Azmir bertengkar pula dengan
Pak Haji tentang namanya dan sikap manusia yang dikatakan oleh Azmir bercakap lain tetapi berbuat lain. Ani
muncul semula. Azmir bertanya tentang sebab Ani masih di sisinya. Sewaktu itu, Azmir dan Ani bercakap tentang
cinta mereka dan makna cinta. Azmir mengatakan bahawa cinta Ani masih bersifat luaran.
ADEGAN II
Doktor memeriksa keadaan Azmir dan membenarkan Azmir bersiar-siar di luar. Kesempatan itu diambil
oleh Azmir untuk keluar dari wad sakit jiwa tersebut. Akhirnya, Azmir tiba di lokasi sekumpulan pelakon drama
yang sedang berlatih drama bertajuk ‘Sasau’ yang berkisar tentang pengaruh kuasa, wang dan fikiran. Azmir
mengatakan bahawa kata-kata pelakon drama Sasau tersebut salah. Malah, Azmir memberikan pendapatnya
tentang kepentingan sistem dalam kehidupan, iaitu sistem prorakyat yang mampu mengawal wang, kuasa dan
manusia.
Sewaktu Azmir memberikan pendapatnya tentang sistem tersebut kepada para pelakon yang berlatih itu,
kepalanya berasa sakit. Setelah reda sakitnya, Azmir memberitahu pelakon-pelakon tersebut bahawa
syarahannya dan penyakitnya adalah betul. Azmir juga menjelaskan bahawa dia datang untuk membetulkan
pelakon-pelakon itu bahawa tidak ada yang sasau tetapi yang ada ialah ketidakbenaran, kepalsuan, dan kepura-
puraan. Azmir juga ditanya tentang gila. Sebaliknya, Azmir menjelaskan bahawa tidak ada istilah gila tetapi suatu
penderitaan yang tidak tertanggung. Kemudian, Azmir menghantuk-hantukkan kepalanya sehingga berdarah.
Azmir menjelaskan bahawa tindakannya menghantukkan kepala itu adalah bukan kerana gila tetapi akibat
menderita suatu kesakitan yang tidak tertanggung dan tidak terucap dengan kata-kata.
Setelah tiga hari Azmir tidak kembali ke wad, Doktor Razi datang dan memujuk Azmir untuk pulang ke
wad. Azmir meminta bantuan Arif dan rakan-rakannya agar dia tidak dikurung di wad sakit jiwa kerana dia tidak
gila. Arif cuba menjelaskan kedudukan sebenar Azmir tetapi tidak dihiraukan oleh Doktor Razi kerana baginya
orang gila memang pandai bercakap. Doktor Razi membawa Azmir pulang ke wad sakit jiwa semula.
ADEGAN III
Arif dan rakan-rakannya menemui keluarga Azmir. Mereka ingin mendapatkan maklumat latar belakang hidup
Azmir. Ibu Azmir menjelaskan bahawa keadaan Azmir begitu sejak tingkatan enam dan semakin teruk ketika di
universiti. Arif menasihati ibu bapa Azmir agar bersama-sama membantu Azmir. Arif memberitahu ibu bapa
Azmir bahawa Azmir memerlukan kasih sayang, semangat dan perangsang, bukannya cemuhan dan penghinaan.
Pelakon II memberitahu ibu bapa Azmir bahawa dia melihat Azmir sedang menghadapi suatu penderitaan yang
tidak tertanggung. Arif menasihati ibu bapa Azmir agar segera mengunjungi Azmir sebelum terlambat.
azan ab latif GCBM KVWT 52

