Page 40 - MODUL GEOGRAFI SEMESTER 2
P. 40
Cadangan Jawapan
Kesan kejadian kemarau kepada persekitaran fizikal yang pertama ialah menyebabkan
persekitaran menjadi panas dan udara menjadi kering. Keadaan ini disebabkan oleh suhu panas
menyebabkan udara menjadi kering dan kurang mengandungi wap-wap air yang membentuk
bintik hujan menyebabkan kekurangan hujan.
Kesan kemarau yang kedua ialah kebakaran hutan secara semulajadi akibat daripada
persekitaran yang panas dan udara yang kering terutama di kawasan hutan tanah gambut,
sepertimana yang berlaku di Kalimantan dan Sumatera pada tahun 1997 yang berlaku
kebakaran hutan yang berleluasa akibat daripada kemarau El-Nino. Kebakaran hutan terkini
juga telah berlaku di Australia bermula pada September 2019 dan telah membakar kira-kira
10.7 juta hektar hutan dan memusnahkan lebih daripada 5,900 bangunan (termasuk lebih
daripada 2,204 rumah) dan mengorbankan 28 orang pada 8 Januari 2020.
Kesan kemarau juga telah menyebabkan kemusnahan habitat flora dan fauna terjadi apabila
keadaan kering dan kekurangan air telah menyebabkan kemusnahan rantaian makanan,
kepelbagaian biologi dan spesies hidupan liar yang hidup dalam hutan tersebut. Kematian
tumbuh-tumbuhan akibat kekurangan air turut menyebabkan kepupusan habitat kepada flora
dan fauna yang bergantung kepada tumbuhan berkenaan.
Kemarau turut menyumbang kepada pembentukan jerebu. Keadaan ini akan diburukkan lagi
apabila cuaca kering dan kemarau yang melanda wilayah selatan Sumatera serta Kalimantan
pada Jun hingga Oktober apabila berlaku El Nino. Rekod menunjukkan sejak 1980-an jerebu
berlaku ketika fenomena El Nino. Namun, ini bergantung kepada jenis dan kekuatan El Nino
itu sendiri. Kekuatan impak fenomena ini pula bergantung kepada peningkatan suhu
permukaan lautan dan kawasan di mana ia berlaku.
Kemarau turut menyebabkan hidupan akuatik seperti alga, lumut dan rumpair akan terjejas dan
ini akan memberi kesan kepada hidupan air yang lain seperti udang dan ketam. Keadaan ini
disebabkan berlakunya penyusutan dan kekurangan air dalam sistem saliran seperti tasik,
sungai dan kolam yang terdapatnya pelbagai hidupan akuatik di kawasan berkenaan.
40

