Page 20 - e Prosiding Serai 2021
P. 20
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
KESEDIAAN GURU PELATIH SAINS IPGKDRI TERHADAP PELAKSANAAN
PENDEKATAN INQUIRY BASED SCIENCE EDUCATION (IBSE)
1
‘Ain Izza Asniera binti Ab Rahman , Nur Aina Syhaqirien binti Ruslan , Mas Norbany
2
binti Abu Samah, PhD 3
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail
ainizza15@gmail.com
ABSTRAK
Pendekatan Inquiry Based Science Education (IBSE) merupakan satu transformasi
pendidikan Sains ke arah merangsang minda saintifik dan kemahiran berfikir aras tinggi.
Kesediaan guru dalam menghadapi perubahan transformasi pendidikan perlu dititikberatkan
kerana transformasi dalam pendidikan seringkali gagal disebabkan oleh kurangnya perhatian
diberikan kepada aspek keperluan para pelaksana iaitu guru. Kajian kuantitatif ini
dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kesediaan guru pelatih Sains dalam aspek
pengetahuan, kemahiran dan sikap terhadap pelaksanaan pendekatan IBSE. Kajian ini juga
bertujuan untuk melihat hubungan antara tahap kesediaan guru pelatih dengan tahap
pelaksanaan pendekatan IBSE semasa menjalani praktikum. Responden kajian ini terdiri
daripada 39 orang guru pelatih Sains di IPG Kampus Dato’ Razali Ismail yang dipilih secara
persampelan bertujuan. Data dianalisis secara statistik deskriptif dan inferensi menggunakan
perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 26.0. Dapatan kajian
menunjukkan tahap kesediaan guru pelatih dalam aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap
berada pada tahap tinggi. Analisis korelasi Pearson yang dijalankan menunjukkan terdapat
hubungan yang signifikan antara tahap pelaksanaan IBSE dengan kesediaan dalam aspek
pengetahuan (r=0.492, sig=0.001), kemahiran (r=0.618, sig=0.000) dan sikap (r=0.645,
sig=0.000). Kesimpulannya, pengetahuan, kemahiran dan sikap guru pelatih yang tinggi
terhadap pendekatan IBSE akan menjadikan guru lebih bersedia untuk melaksanakan
pendekatan IBSE. Kajian ini menyarankan agar kursus atau latihan perlu diberikan secara
berterusan bagi memastikan guru-guru sentiasa didedahkan dengan pengetahuan dan
kemahiran yang terkini berkaitan pelaksanaan pendekatan IBSE.
Kata kunci: IBSE, tahap kesediaan pengetahuan, kemahiran dan sikap, pelaksanaan
pendekatan IBSE dalam pengajaran dan pembelajaran
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 2

