Page 230 - e Prosiding Serai 2021
P. 230
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
PK2 pula dapat mengenal separuh daripada huruf-huruf konsonan. Dia agak keliru
dengan ejaan suku kata KV. Dia tidak dapat mengeja dan membatang suku kata KVKV dan
selalu menukar bunyi ejaan suku kata KV, contohnya huruf “m” “o” sepatutnya dibunyikan
“mo” tetapi telah disebut “do”. PK2 juga kurang fokus dan kurang yakin diri semasa mengeja,
menyebabkan dia selalu terlupa bunyi suku kata pertama dan akibatnya salah menyebut
perkataan KVKV yang dieja.
Manakala PK3 pula telah mengenal semua huruf namun belum boleh mengeja dan
membatang perkataan KVKV. Dia tidak tahu membunyikan suku kata KV dan tidak tahu
hendak mengeja suku kata KV.
SOROTAN LITERATUR
Masalah mengeja dan membaca perkataan KVKV ini memerlukan tindakan segera
memandangkan jika perkara ini dibiarkan berlanjutan maka murid-murid akan lambat
menguasai kemahiran membaca. Berdasarkan beberapa tinjauan literatur yang telah
dilakukan masalah ini dapat diselesaikan melalui beberapa pendekataan mengajar bacaan.
Ini menunjukkan masalah ini dapat diatasi sekiranya teknik dan kaedah yang bersesuaian
dengan murid-murid berkeperluan khas diaplikasikan kepada mereka dengan bersungguh-
sungguh dan dengan kesabaran yang tinggi. Kamarudin Hj. Husin (1998) menyatakan
bahawa terdapat tiga pendekatan pengajaran membaca, iaitu pendekatan membina,
cerakinan dan eklektif. Pendekatan membina bermakna menyusun huruf-huruf menjadi suku
kata, perkataan, rangkai kata dan seterusnya membina ayat. Pendekatan cerakin pula
memisahkan ayat kepada rangkai kata, perkataan, suku kata sehingga huruf. Manakala
pendekatan eklektif adalah gabungan daripada pendekatan membina dan cerakinan.
Namun untuk memperkenalkan bacaan kepada murid-murid berkeperluan khas,
kesediaan mereka untuk menerima PdP dari segi mental emosi dan fizikal harus
dititikberatkan. Pelbagai aktiviti perlu dijalankan sebelum semua peringkat bacaan dimulakan.
Dalam hal ini, Khairuddin Mohamad (2011) menjelaskan bahawa kesediaan fizikal kanak-
kanak lebih kepada keupayaan alat-alat sebutan atau artikulasi menghasilkan bunyi-bunyi
yang akan diajarkan, keupayaan mata mengecam bentuk dan keupayaan pendengaran
mengecam pelbagai bunyi. Kesediaan emosi dilihat dari aspek minat terhadap bahan bacaan
dan kesediaan mental pula dilihat dari sudut mengingat dan menyebut kembali maklumat yang
diperoleh.
Walau bagaimanapun kesediaan-kesediaan yang dibincangkan itu berbeza bagi
setiap murid berkeperluan khas. Oleh hal demikian, kajian ini berfokuskan kepada tiga orang
murid (PK1, PK2 dan PK3) yang mempunyai kesediaan dari aspek fizikal, emosi dan mental.
Mereka juga sudah agak bersedia dan berminat untuk meneroka peringkat asas kemahiran
membaca.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 212

