Page 63 - e Prosiding Serai 2021
P. 63
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
Justeru itu, para siswa guru atau bakal guru permulaan yang telah dilatih dan dibimbing
di Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan kemahiran abad ke-21 meliputi pembelajaran dan
kemahiran inovasi, kemahiran maklumat, media dan teknologi, kemahiran hidup dan kerjaya
yang terkandung dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mampu mewujudkan
PdP yang berkesan di dalam bilik darjah (Ibrahim, 2011).
Hal ini turut disokong oleh (Aziz Omar, 2011) yang berpendapat bahawa peluang
mengikuti latihan mengajar ini menjadi medan bagi setiap siswa guru untuk mempraktikkan
teori-teori yang mereka pelajari dalam kuliah dan membina suasana pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan di dalam bilik darjah. Persediaan siswa guru dalam
mengaplikasikan konsep pembelajaran abad ke-21 (PAK21) ini bakal melahirkan seorang guru
yang kompeten dan memenuhi cabaran pendidikan semasa pada masa akan datang.
SOROTAN LITERATUR
Mengikut Eee Ah Ming (1997), pengajaran tradisional bertunjangkan kepada kaedah kuliah
dalam bentuk penyampaian maklumat dan penerangan idea atau prinsip secara lisan dan
abstrak oleh guru kepada pelajar melalui komunikasi satu hala dan peranan pelajar sebagai
penerima adalah pasif. Keadaan ini akan menyebabkan pelajar merasa bosan untuk belajar
subjek Pendidikan Islam dan akhirnya menyebabkan pencapaian akademik pelajar merosot.
Kajian Kamarul Azmi et al. (2012) juga mendapati guru pendidikan Islam
menyampaikan pengajaran menggunakan 80% kaedah kuliah dan syarahan dalam sesuatu
masa yang diperuntukkan. Hal ini disokong oleh Rohaida dan Zamri (2015), kebanyakan guru
lebih selesa dengan kaedah sedia ada dan sukar untuk menerima perubahan dan mempelajari
kemahiran penyampaian kecemerlangan dalam sesuatu mata pelajaran pengetahuan dalam
bentuk baharu.
Menurut Raja Abdullah dan Daud Ismail (2018), penerimaan PAK21 dalam kalangan
guru pelatih masih pada tahap sederhana. Oleh hal yang demikian, guru Pendidikan Islam
perlu mempelbagaikan aktiviti PAK 21 dengan memfokuskan kepada elemen-elemen
kemahiran pemikiran kritikal, kemahiran kolaborasi, kemahiran komunikasi dan kreativiti
kerana kemahiran abad ke-21 diperlukan dalam pasaran kerja global masa kini.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 45

