Page 944 - e Prosiding Serai 2021
P. 944
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
mesti diberikan kepada kanak-kanak. Salah satu peluang pembelajaran dan penerokaan
kendiri ini diberikan kepada kanak-kanak prasekolah melalui pelaksanaan strategi pusat
pembelajaran di prasekolah, sesuai dengan arahan pelaksanaannya melalui Dokumen
Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan
(KSPK) Semakan 2017 (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2017) dan Garis Panduan
Pengurusan Prasekolah yang dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2018).
Guru hendaklah mewujudkan pusat pembelajaran di prasekolah. Pusat pembelajaran
merupakan ruang yang dilengkapi dengan bahan dan peralatan pembelajaran untuk
murid melaksanakan aktiviti sama ada secara berstruktur atau bebas. Pusat
pembelajaran memberi peluang kepada murid membina pengetahuan dan kemahiran
secara kendiri. Oleh itu, guru perlu mengoptimumkan penggunaan pusat
pembelajaran.
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2018)
Kanak-kanak perlu banyak berinteraksi dengan rakan sebaya mereka dalam
persekitaran pembelajaran yang kondusif tetapi santai dan tidak memberi tekanan kepada
mereka. Perkara ini akan menyuburkan perkembangan sosioemosi mereka seperti yang
dinyatakan oleh Erikson (1950) di mana pada tahap umur kanak-kanak tiga hingga enam
tahun mereka berada pada peringkat ketiga iaitu inisiatif lawan rasa seba salah. Kanak-kanak
akan terus ingin mencuba jika mendapat galakan. Selain itu, Vygotsky (1986) juga
menyatakan bahawa kanak-kanak perlu diberi rangsangan untuk berinteraksi dengan rakan
sebaya dan orang dewasa. Suasana ini boleh diperoleh kanak-kanak semasa membuat
aktiviti di pusat pembelajaran di mana kanak-kanak meneroka pembelajaran mereka secara
kendiri bersama rakan-rakan dan guru hanya memberi bimbingan yang minima.
Kanak-kanak mampu menyelesaikan masalah mereka sendiri. Walaupun peranan
orang dewasa perlu untuk melonjakkan kemampuan kanak-kanak seperti yang dinyatakan
oleh Noor Miza (2015) dan selari dengan konsep rancahan (scaffolding) bagi merapatkan
jurang zon perkembangan proksimal (Zone of Proximal development, ZPD) melalui Teori
Sosiobudaya oleh Vygotsky (1986), sebenarnya kanak-kanak lain juga boleh mengambil
peranan dalam membantu seseorang kanak-kanak melepas ZPD. Ketika menjalankan aktiviti
di pusat pembelajaran, kanak-kanak berinteraksi sesama mereka dan saling membantu untuk
menyelesaikan sesuatu masalah. Sebagai contoh, dalam aktiviti mencari sukatan air bagi
memenuhkan bekas yang besar, kanak-kanak akan berinteraksi dalam mencari penyelesaian
dan pada ketika tersebut kanak-kanak yang lebih berpengalaman akan membantu rakan-
rakan mereka yang lain. Situasi ini memenuhi konsep rancahan yang telah disebutkan oleh
Vygotsky (1986) walaupun hanya melibatkan kanak-kanak.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 926

