Page 969 - e Prosiding Serai 2021
P. 969
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERKESAN GURU GEOGRAFI DALAM
KURIKULUM STANDARD SEKOLAH MENENGAH (KSSM).
Nor Azira binti Nordin
Pusat Pembelajaran Universiti Terbuka Malaysia
Universiti Terbuka Malaysia
norazira1976@oum.edu.com
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) guru geografi
yang berkesan dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) di Sekolah Berasrama
Penuh (SBP) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di negeri Pahang. Kajian ini
dijalankan terhadap dua orang guru perempuan yang bukan opsyen mata pelajaran geografi
tetapi dikehendaki mengajar mata pelajaran tersebut. Dapatan kajian adalah berdasarkan
tinjauan guru di dalam kelas dengan menggunakan borang Standard Pengajaran dan
Pemudahcaraan Guru, temu bual dan pemerhatian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa
kedua-dua guru telah berjaya menjalankan PdP dengan berkesan. Guru A mendapat taraf
cemerlang manakala guru B mendapat taraf baik. Penggunaan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (TMK) dalam PdP memberi impak yang positif kepada pelajar. Walau
bagaimanapun, guru B menghadapi masalah kemudahan TMK di sekolah. Strategi
pembelajaran berkumpulan yang terdapat dalam sukatan baharu KSSM membantu murid
menyelesaikan pelbagai masalah pembelajaran. Hasil kajian menunjukkan pembelajaran
berkumpulan dan pembentangan secara Gallery Walk adalah lebih efektif dan memberi impak
positif kepada murid terutamanya dalam meningkatkan kefahaman murid terhadap mata
pelajaran Geografi. Pengkaji mencadangkan agar guru sentiasa menambah baik penggunaan
TMK dalam PdP serta memberikan penghargaan terhadap segala usaha murid.
Kesimpulannya, guru sebagai fasilitator bertanggungjawab membimbing murid untuk berfikir
secara kreatif dan kritis bagi menghadapi cabaran di peringkat global dan bersedia
menghadapi perubahan dalam KSSM.
Kata Kunci: Pengajaran dan Pembelajaran, Kurikulum Standard Sekolah Menengah,
Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 951

