Page 514 - e Prosiding Serai 2021 final
P. 514
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
Kemunculan abad ke-21 telah membawa dimensi baharu dalam sistem pendidikan
di Malaysia apabila kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) telah diperkenalkan melalui
transformasi kurikulum dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Menurut Lewis dan Smith (1993), KBAT berlaku ketika seseorang menerima maklumat baharu
dan memproses maklumat tersebut, kemudian membuat penilaian, seterusnya membuat
keputusan, serta menyelesaikan masalah yang bukan lazim. Hal ini bermakna apabila
menghadapi sebarang masalah, murid perlu lebih kreatif dengan mempunyai lebih dari satu
cara penyelesaian.
Onosko dan Newmann (1994) pula menjelaskan KBAT sebagai penggunaan potensi
minda secara meluas untuk menghadapi cabaran-cabaran baru. Dalam hal ini murid perlu
memahami, menterjemah, menganalisis, dan memanipulasikan maklumat untuk menjawab
setiap persoalan atau menyelesaikan masalah yang tidak boleh diselesaikan. Berdasarkan
takrifan Kementerian Pendidikan Malaysia (2013a), KBAT ialah keupayaan untuk
mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi
bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta
sesuatu.
Oleh itu, proses KBAT berlaku apabila seseorang mendapat maklumat baharu,
menyimpan dalam memori dan menyusun, kemudian mengaitkannya dengan pengetahuan
sedia ada, serta memanjangkan maklumat ini untuk mencapai sesuatu tujuan atau
menyelesaikan sesuatu situasi yang rumit. Melalui KBAT murid dapat membuat keputusan,
melahirkan idea baru, membuat ramalan dan menyelesaikan masalah. Dengan kata lain,
KBAT berupaya untuk melahirkan murid yang aktif berfikir dan diharapkan murid tidak lagi
menghafal maklumat tetapi berupaya menyelesaikan masalah.
MODEL KEMAHIRAN BERFIKIR DI MALAYSIA
Pelbagai model kemahiran berfikir telah dihasilkan oleh para penyelidik untuk memantapkan
proses kemahiran berfikir dalam kalangan masyarakat. Hal ini tidak terkecuali peranan yang
dimainkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) dalam menghasilkan model kemahiran berfikir untuk diketengah dan diaplikasikan
kepada murid-murid di Malaysia. Perhubungan antara kemahiran berfikir kritis, kemahiran
berfikir kreatif, kemahiran berfikir menaakul dan strategi berfikir adalah seperti yang
ditunjukkan dalam Rajah 1;
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 493

