Page 708 - e Prosiding Serai 2021 final
P. 708
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
KEMAHIRAN MEMBACA BAHASA MELAYU MURID PERIBUMI DALAM KONTEKS
PERPADUAN KAUM
Celinea Lasan, PhD
1
1 Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur
celinea@ipgkbm.edu.my
ABSTRAK
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025 (PPPM 2013-2025) memberi
peluang kepada murid orang asli dan kumpulan minoriti peribumi di Sarawak dan Sabah
menikmati peluang yang sama dalam pembangunan pendidikan. Justeru, kemahiran
membaca bahasa Melayu mampu menjadi wahana pemangkin perpaduan kaum di negara
ini. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kualitatif yang dilaksanakan secara kajian kes.
Pengumpulan data dilakukan melalui temu bual separa berstruktur, pemerhatian
pembelajaran di dalam bilik darjah, analisis dokumen dan nota lapangan pengkaji. Peserta
kajian terdiri daripada lapan orang murid peribumi di sekolah rendah dan empat orang guru
bahasa Melayu. Pemilihan peserta kajian adalah secara persampelan bertujuan. Data
dianalisis menggunakan perisian ATLAS.ti Mac versi 1.6.0 (484), dianalisis secara deskriptif
dan dipersembahkan dalam bentuk naratif. Dapatan kajian secara tematik menunjukkan
strategi pembelajaran kemahiran membaca murid peribumi terdiri daripada pembelajaran
berkumpulan dan pengukuhan pengalaman. Pencapaian matlamat pembelajaran murid
peribumi pula mengetengahkan kepuasan membaca, keyakinan diri, menghargai masa dan
peningkatan akademik. Kajian ini memberi implikasi terhadap pendidikan bahasa Melayu di
peringkat sekolah rendah. Selain itu, kajian ini dapat membantu guru-guru bahasa Melayu
dalam meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran terutamanya apabila berhadapan
dengan kumpulan murid peribumi dalam masyarakat kolektivisme di Malaysia.
Kata kunci: Kemahiran membaca, bahasa Melayu, murid peribumi dan perpaduan kaum.
PENGENALAN
Kemerdekaan yang dikecapi selama 64 tahun pada tahun 2021 ini jelas menunjukkan
perpaduan kaum yang ampuh dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Erti
kemerdekaan sebenar kepada generasi masa kini bersangkut paut dengan kemerdekaan jiwa
dan minda yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri sebagai rakyat Malaysia. Jati diri ini
diperkukuh melalui aspek-aspek budaya, akhlak, agama, pendidikan dan bahasa sebagai
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 687

