Page 23 - BUKU TEKS MPV PEMPROSESAN MAKANAN TINGKATAN 4 DAN 5
P. 23

Pengurusan Stok

            Stok ialah bekalan barang yang disimpan oleh peniaga untuk
            menampung permintaan pelanggan.
            Stok terbahagi kepada dua kategori, iaitu:                          1.2.4  Memerihalkan kepentingan
                                                                                     merekod stok.
            1.  Stok barang kekal iaitu peralatan seperti mesin dan peti sejuk.
            2.  Stok bahan habis guna seperti tepung, gula, garam dan lain-lain.







                  Pengurusan stok perlu dilakukan dengan teliti dan teratur supaya tidak berlakunya ketiadaan
                  stok. Berikut merupakan faedah pengurusan stok yang cekap:
                    1.  Mengelakkan ketiadaan stok.

                    2.  Penggunaan modal lebih ekonomik.
                    3.  Perhatian tertumpu pada barangan yang tinggi kadar permintaan.

                    4.  Mengurangkan kerugian stok tamat tempoh.
                    5.  Ruang simpanan dapat dioptimumkan.





            Langkah Pengurusan Stok

             1  Menyimpan stok

                (a)  Stok habis guna hendaklah disimpan mengikut keperluan.

                (b)  Semak baki stok, buat tempahan dengan pembekal secepat mungkin sekiranya stok hampir habis.
                (c)  Kuantiti stok ialah jumlah stok yang perlu disimpan pada satu-satu masa seperti berikut:
                   •  Kuantiti stok maksimum – kuantiti stok tertinggi (terbanyak) yang disimpan dalam
                     satu-satu masa.
                   •  Kuantiti menambah stok – kuantiti stok yang menunjukkan telah sampai masa untuk memesan
                     stok baharu.
                   •  Kuantiti stok minimum – kuantiti stok terendah yang disimpan dalam satu-satu masa.
                (d)  Barang kawalan perlu disimpan mengikut kuantiti yang dibenarkan.

                (e)  Elakkan menyimpan terlalu banyak stok kerana akan menyesakkan ruang penyimpanan dan modal
                   terikat pada stok.

                (f)  Susun stok mengikut jenis supaya senang diambil.

                (g)  Amalkan sistem First In, First Out (FIFO)  iaitu menggunakan stok lama terlebih dahulu.



             2  Menyediakan stok

                (a)  Sediakan dalam kuantiti yang kecil.

                (b)  Bungkus dengan rapi dan tuliskan tarikh penerimaan dan tarikh luput.
                (c)  Pastikan stok dalam keadaan baik dan selamat digunakan.





                                                                                                         17
   18   19   20   21   22   23   24   25   26   27   28