Page 71 - BUKU TEKS MPV PEMPROSESAN MAKANAN TINGKATAN 4 DAN 5
P. 71
2.3 MEMPROSES BEBOLA IKAN
Pengenalan
Bebola ikan merupakan sejenis makanan yang berasaskan isi ikan. Bebola ikan dihasilkan tidak kurang
daripada 50% isi ikan dan diadun dengan tepung serta lain-lain bahan, dibentuk menjadi bebola seterusnya
direbus atau dikukus. Teksturnya yang kenyal serta kaya dengan rasa ikan menjadikan bebola ikan sedap
dimasak dengan pelbagai gaya hidangan. Produk berasaskan ikan ini juga boleh diinovasikan dengan
mencampurkannya dengan bahan-bahan lain seperti sayur-sayuran hijau, lobak merah, jagung, kacang
dan lain-lain. Bebola ikan jenis ini dikenali sebagai bebola ikan sayuran. Pelbagai jenis ikan diproses untuk
dijadikan bebola ikan terutama ikan isi putih. Ikan merah dan ikan tenggiri merupakan antara ikan yang
mempunyai isi yang putih dan pejal. Bebola ikan dijual secara sejuk dingin dan sejuk beku.
Foto 2.2 Ikan tenggiri Foto 2.3 Ikan merah
Kaedah membentuk bebola ikan boleh
dilakukan dengan dua cara iaitu secara
manual dengan menggunakan tangan
atau menggunakan mesin pembentuk
bebola ikan (Fish ball moulder). Dua kaedah
ini digunakan bergantung kepada kuantiti
yang akan dihasilkan. Mesin pembentuk
bebola ikan digunakan dalam industri
pemprosesan bebola ikan dalam skala yang
besar. Penggunaan mesin membolehkan
pemprosesan bebola ikan akan menjadi
lebih mudah, cepat dan saiznya seragam.
Foto 2.4 Mesin pembentukan bebola ikan
65

