Page 102 - Jurnal Pendidikan Tingkatan Enam 2019 - Jilid 3
P. 102
Perubahan Paradigma Pemikiran Ke Arah Pendidikan Berkualiti
PENGGUNAAN KAEDAH NOTA PELIK DAN UNIK UNTUK
MENINGKATKAN KEMAHIRAN MELAKAR DAN MELUKIS
DALAM KALANGAN PELAJAR 6FGS2 & 6EPS2
Chieng Chong Ing
Pusat Tingkatan Enam SMK Simanggang, Sarawak
Abstrak 6
Kajian tindakan ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah yang sering membelenggu para pelajar
tingkatan 6FGS2 dan 6EPS2 sesi 2018. Fokus utama kajian berkisarkan kemahiran melakar dan
melukis khususnya kertas 970/2 iaitu Lukisan Pengkaryaan dan Perekaan. Pengkaji menggunakan
kaedah ini dalam kajian kerana ingin mengetahui keberkesanan kaedah ini. Kaedah Nota Pelik
dan Unik diperkenalkan agar pelajar memahami kandungan pelajaran dengan efektif, menguasai
kemahiran melukis serta memupuk minat pelajar terhadap kertas tersebut. Tinjauan awal mendapati
pelajar kurang minat, memerlukan masa yang panjang untuk menyiapkan tugasan dan dari segi
mutu latihan berada pada tahap kritikal. Terdapat 25 perkara penting yang perlu dikuasai oleh
pelajar dalam kaedah yang diperkenalkan. Dalam kaedah ini, perkataan unik, efektif serta singkat
diterapkan. Contohnya, ‘semua lukisan terdiri daripada 1 dan C’, ‘main golf’, ‘anggap bogel’, ‘tekan
& lepas’ dan ‘kepung’. Selain itu, teknik ini amat sesuai diaplikasikan dalam kertas 2 khasnya dan
kertas 3 secara amnya kerana kedua-duanya memerlukan pelajar menguasai kemahiran melakar
dan melukis. Pengaplikasian Kaedah Nota Pelik dan Unik jelas menampakkan keberkesanannya
khususnya membantu menguasai kemahiran melakar dan mewarna. Hasilnya dapat diukur
pencapaian mereka melalui analisis Peperiksaan Sebenar Penggal 2 STPM, iaitu seramai 6 orang
pelajar (42.86%) telah mendapat A. Di samping itu, kaedah ini memudahkan serta menjimatkan
tempoh masa untuk menyiapkan tugasan. Berbanding dengan kaedah konvensional, kaedah ini
bukan sahaja menampakkan tahap kepuasan pelajar yang tinggi malah mutu lakaran serta lukisan
juga menunjukkan peningkatan yang ketara.
Kata kunci: Kaedah Nota Pelik dan Unik, kemahiran melakar, kemahiran melukis, Lukisan
Pengkaryaan, Lukisan Perekaan.
1.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG LALU
Kementerian Pendidikan Malaysia (2014) dalam Pelan Profesionalisme Berterusan telah
menggariskan lima atribut yang dihasratkan daripada guru dan pemimpin sekolah iaitu,
beraspirasi, kompeten, profisien, strategis dan berwawasan. Seni Visual Kertas Dua (Lukisan
Pengkaryaan dan Perekaan) memberi tumpuan kepada kerja-kerja praktikal yang memberi
kemahiran asas dalam penghasilan karya dan perekaan untuk pelajar menghasilkan
karya Seni Visual yang lebih kukuh. Pengkajian lukisan tertumpu kepada kajian seting dan
gubahan. Situasi pengajaran dan pembelajaran di peringkat STPM amat mencabar apabila
soalan-soalan yang menyentuh aspek kemahiran pelajar melakar dan mewarna. Misalnya,
dalam Peperiksaan Semester 2 STPM tahun 2016, pelajar dikehendaki melukis dengan
memberi tumpuan pada aspek struktur dan kadar banding dengan berdasarkan seting yang
mengandungi item kemeja T, tuala mandi, seluar panjang dan botol pencuci atau pelembut
baju. Pelajar yang fobia melakar serta mewarna, pasti menghadapi masalah menjawab
dengan baik.
Kementerian Pendidikan Malaysia 101

