Page 103 - Jurnal Pendidikan Tingkatan Enam 2019 - Jilid 3
P. 103
JURNAL PENDIDIKAN TINGKATAN ENAM 2019 JILID 3
Pada tahun 2018, pengkaji telah diamanahkan untuk mengajar kelas 6FGS2 dan 6EPS2
dengan latar belakang pelajar yang berbeza iaitu terdapat pelajar yang berasal daripada
aliran sains peringkat SPM. Hal ini bermaksud pelajar tersebut tidak mengambil mata
pelajaran Pendidikan Seni Visual pada peringkat SPM. Terdapat juga pelajar yang terdiri
daripada aliran sastera semasa di arus perdana, namun tidak mengambil subjek elektif
Pendidikan Seni Visual SPM. Pengkaji juga mendapati bahawa walaupun terdapat pelajar
yang mengambil Pendidikan Seni Visual semasa di peringkat SPM namun kebanyakan
mereka tidak mempunyai kemahiran asas yang kukuh bagi mencapai standard Majlis
Peperiksaan Malaysia.
Ujian ringkas yang dijalankan mendapati hanya 2 (14.29%) orang pelajar mampu
mencapai tahap baik seperti yang dikehendaki, 4 (28.57%) pada tahap sederhana dan 8
(57.14%) pada tahap lemah. Pengkaji membuat pemerhatian tentang tingkah laku pelajar
semasa awal Semester Dua dan didapati pelajar tidak bermotivasi untuk belajar dan
suka mendiamkan diri. Situasi ini amat membimbangkan dan kritikal sekiranya pengkaji
tidak mengambil tindakan secara drastik dan inovatif. Dalam organisasi sekolah, kreativiti
dilihat sebagai suatu kuasa atau ‘force’ yang penting bagi mencorakkan perkembangan
kreativiti dalam sesebuah sekolah (Abdul Rahim Abdul Rashid, 2002). Dalam buku Md.
Nasir Ibrahim (2003), beliau telah memetik pandangan Gilchrist yang merujuk kreativiti
sebagai keupayaan menghasilkan sesuatu yang baharu dan bernilai sama ada maujud
atau tidak. Oleh itu, pengkaji perlu membaiki kelemahan pada diri sendiri dengan membina
atau mencipta kaedah yang lebih berkesan untuk pelajar.
2.0 FOKUS KAJIAN
Fokus kajian adalah untuk mencipta kaedah baharu yang kreatif dan inovatif bagi memupuk
minat serta kemahiran pelajar dalam menghasilkan lakaran dan lukisan yang bermutu tinggi.
Pengkaji juga ingin mengkaji keberkesanan Nota Pelik dan Unik sebagai satu daripada
kaedah alternatif terbaik untuk responden kajian.
3.0 OBJEKTIF KAJIAN
Selepas kajian ini selesai dijalankan, pelajar 6FGS2 dan 6EPS2 sesi 2018 diharapkan
dapat mencapai objektif berikut:
3.1 Objektif Umum
Menghasilkan lakaran dan lukisan dengan bermutu yang setara dengan standard STPM
dan kehendak Majlis Peperiksaan Malaysia.
102 Bahagian Pengurusan Sekolah Harian

