Page 20 - KARANGAN
P. 20

ESEI 3 : PERANAN PELBAGAI PIHAK UNTUK MEMARTABATKAN PERMAINAN
               TRADISIONAL



               Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, ini ialah peribahasa yang perlu kita jadikan
               pegangan dan panduan dalam usaha untuk memartabatkan permainan tradisional dalam
               kalangan masyarakat Malaysia. Permainan tradisional dapat ditakrifkan secara literal
               sebagai permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat untuk satu
               tempoh tertentu. Sejak dua tiga dekad ini, dapat kita saksikan betapa permainan tradisional
               semakin ditelan zaman seiring dengan  arus pemodenan masa kini. Pada masa yang sama,
               permainan elektronik semakin diagung-agungkan dalam kalangan masyarakat masa kini.
               Dalam konteks ini, permainan tradisional semakin dipandang enteng oleh masyarakat
               Malaysia dek pengaruh permainan elektronik yang semakin mendapat tempat di hati
               masyarakat seantero dunia. Persoalannya kini, adakah kita bersedia untuk melihat satu-
               satunya warisan daripada nenek moyang kita hilang begitu sahaja secara perlahan-lahan
               tanpa kita sedari, ibarat daun kering yang terbang ditiup angin? Adakah kita sanggup
               melihat masyarakat sekarang semakin jatuh jauh ke dalam kancah permainan elektronik
               yang sebenarnya tanpa kita sedar atau tidak banyak mendatangkan keburukan berbanding
               kebaikan bagi seseorang itu sendiri. Persoalan yang sering menerjah dan menerawang di
               gawang minda fikiran kita ialah apakah peranan pelbagai pihak untuk memartabatkan lagi
               permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia? Antara peranan pelbagai pihak
               yang boleh dilakukan ialah menganjurkan kelab permainan tradisional dan mengadakan
               kempen untuk mengangkat martabat permainan tradisional ke tahap yang lebih tinggi. Oleh
               hal yang demikian, pelbagai prakarsa yang konkrit, sistematik lagi pragmatik akan dikupas
               serta disegarkan dengan lebih terperinci demi kemaslahatan semua pihak yang masih
               tercari-cari tongkat mereka untuk dijadikan panduan.



               Suatu hakikat yang tidak boleh dipertikaikan ialah ibu bapa memainkan peranan yang
               signifikan dalam usaha untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi
               muda khususnya anak-anak. Sebagaimana yang kita ketahui, ibu bapa sering menjadi suri
               teladan untuk anak-anak mereka yang sedang meningkat dewasa. Hal ini adalah kerana,
               setiap perbuatan ibu bapa akan dicontohi anak-anak seperti peribahasa bagaimana acuan,
               begitulah kuihnya. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membelikan anak-anak permainan
               tradisional sebagai hadiah atau buah tangan sekiranya ibu bapa pulang dari bekerja di luar
               daerah seperti congkak dan gasing. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menurunkan ilmu
               yang dipelajarinya satu ketika dahulu kepada anak-anak mereka. Pada masa yang sama,
               ibu bapa boleh membawa anak-anak ke tempat rekreasi untuk bermain dengan permainan
               tradisional. Peribahasa yang berkaitan dengan hal ini ialah melentur buluh, biarlah dari
               rebungnya. Secara langsung, anak-anak dapat mewarisi permainan tradisional daripada ibu
               bapa mereka tentang teknik dan cara- cara bermain. Sekiranya, ibu bapa memainkan
               peranan mereka maka, permainan  tradisional ini akan kekal sepanjang zaman walaupun
               sudah berdekad-dekad lamanya. Tegasnya, peranan ibu bapa amat signifikan dalam usaha
               untuk memperkenalkan permainan tradisional yang semakin ditelan zaman agar dapat terus
               diwarisi dari generasi ke generasi.





                                                                                               20 | P a g e
   15   16   17   18   19   20   21   22   23   24   25