Page 40 - KARANGAN
P. 40
ESEI 4 : KESAN-KESAN TEKNOLOGI MAKLUMAT (ICT)
Zaman beralih dan musim berubah. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari
zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom,
kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam
setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya
manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan,
penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang
lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan
lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih.
Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan sama
ada implikasi yang positif atau negatif.
Kehadiran teknologi maklumat merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan.
Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi maklumat.
Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya
teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat
diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dengan pelajar
sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi
disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di
Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di surat khabar menjelaskan hakikat ini. Iklan
tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan
menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang
sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah.
Begitulah kelebihan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan.
Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan
efisien dengan adanya kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga iaitu
cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan
tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman
sesawang mereka beserta alamat mel elektronik atau e-mel. Kini,
istilah www.sesuatu.com.my bukan lagi satu perkara yang asing. Pelbagai barang dan
perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari peringkat glokal malah dari
seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini
malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang
suri rumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah bahawa
perkembangan teknologi maklumat membawa kesan positif dari aspek perniagaan.
Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat juga meningkatkan kualiti dan produktiviti
keluaran industri kita. Perkembangan teknologi maklumat secara langsung atau tidak
membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat,
tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel,
sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa
dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa.
Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang
lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat
dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau
lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer
40 | P a g e

