Page 41 - KARANGAN
P. 41
persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam
membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi
maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan
negara-negara maju yang lain.
Dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat mengeratkan hubungan antara
rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada
di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli
keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar
dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan
agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan
melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan
telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara
negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui
internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat
pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok
bandingnya?
Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi maklumat tidak bebas daripada
implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif yang
boleh menggugat keamanan negara. Maka, tidak hairanlah apabila terdapat sesetengah
pihak yang menggunakan teknologi ini untuk yang menyampaikan khabar yang tidak
berasas dan berbaur fitnah. Di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar
angin. Contohnya, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku rusuhan
kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet pada
suatu ketika dahulu. Khabar angin ini pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar
batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri.
Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini,
keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Aspek negatif
internet inilah yang sukar dibendung oleh sesiapa.
Teknologi maklumat juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya
dalam kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan
daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang mendahagai pengetahuan seks dijadikan
sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini yang
bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ingin mengaut
keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan
mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan
cepat bagai belut diketil ekor dalam kalangan pelajar sekolah tidak kira lelaki atau
perempuan. Hal ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua
pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di
merata-rata tempat memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini merupakan pusat
perkembangan dan perkongsian maklumat negatif dalam kalangan remaja dan belia.
Sesungguhnya, teknologi maklumat sememangnya menyebarkan unsur-unsur lucah dan
meningkatkan kebejatan akhlak remaja kita.
41 | P a g e

