Page 104 - malaysia_2017
P. 104
PERLEMBAGAAN DAN SISTEM PEMERINTAHAN NEGARA
Yang di-Pertuan Agong
eri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara yang
Smengambil keutamaan mengatasi semua orang dalam persekutuan dan tidak boleh
dikenakan dakwaan dalam apa-apa juga perbicaraan dalam mana-mana mahkamah.
Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja Melayu mengikut peraturan yang
termaktub dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan. Yang di-Pertuan Agong akan
memegang jawatannya selama lima tahun kecuali baginda meletakkan jawatan atau
dilucutkan jawatannya oleh Majlis Raja-Raja.
Sebagai ketua utama negara, Baginda mempunyai kuasa eksekutif. Baginda berkuasa
memanggil, membatalkan dan membubarkan Parlimen. Dalam melaksanakan kuasa,
baginda mendapat nasihat daripada Jemaah Menteri. Yang di-Pertuan Agong boleh
melaksanakan tiga perkara mengikut budi bicara baginda sendiri iaitu melantik Perdana
Menteri, tidak mempersetujui pembubaran Parlimen dan meminta supaya diadakan
mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan
kebesaran Raja-Raja. Baginda juga mempunyai kuasa mengampuni dan menangguhkan
hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan di mahkamah tentera dan bagi semua
kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan. Baginda adalah Ketua Agama
bagi Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong
bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum
bumiputera di Sabah dan Sarawak. Selain memegang tampuk tertinggi dalam Angkatan
Tentera Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong juga berperanan menentukan rizab orang
Melayu dan bumiputera, jawatan perkhidmatan, biasiswa, bantuan keistimewaan
pendidikan atau latihan, kadar permit atau lesen dan juga mengisytiharkan darurat.
104 MALAYSIA
2017

