Page 26 - malaysia_2017
P. 26
SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1438H/2016M
PENCAPAIAN DAN PERISTIWA PENTING NEGARA
Majlis Sambutan Maulidur Rasul S.A.W Peringkat Kebangsaan 1438H/2016M
telah diadakan pada 11 Disember 2016 / 11 Rabi’ulawal 1438H di Masjid Putra,
Putrajaya. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib
bin Tun Abdul Razak yang bertemakan “Ukhwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah”.
Hampir 3,000 peseta daripada 61 kontinjen menyertai sambutan itu yang terdiri
daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform,
pertubuhan bukan kerajaan serta pelajar institusi pendidikan tinggi dan sekolah.
Tokoh penulisan khat yang juga Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan,
Mohammed Yusof Abu Bakar, 86, dari Bachok Kelantan telah menerima Anugerah
Perdana Sambutan Maulidur Rasul 1438H/2016.
Sembilan penerima Anugerah Maulidur Rasul 1438H/2016M peringkat kebangsaan
pula ialah bekas Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Putit Matzen; hakim
majlis tilawah dan menghafaz Al-Quran peringkat antarabangsa, Datuk Salahuddin
Omar; pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Hashim Mehat; Ketua
Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin; pensyarah sastera
Universiti Putra Malaysia, Dr. Lim Swee Tin; wartawan Berita Harian, Hasliza
Hassan; pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Abdul Latif Romly;
dan imam masjid di Kedah, Ustaz Mohd Kamal Ismail.
SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1438/2016M
Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1438H/2016M telah diadakan
di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 2 Oktober
2016. Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku
Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Turut hadir ialah Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib dan isteri, Datin Paduka
Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid dan
barisan menteri kabinet. Sambutan Maal Hijrah tahun ini bertemakan “Ukhuwah
Islamiah Asas Penyatuan Ummah” yang dilihat bertepatan dengan usaha kerajaan
yang mahukan rakyat negara ini bersatu padu, hidup harmoni dan penuh muhibah
yang menjadi nadi transformasi kepada pembangunan negara. Ukhuwah Islamiah
yang terbina berasaskan iman dan takwa akan menumbuhkan rasa persaudaraan,
kasih sayang dan saling hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira
bangsa, agama dan fahaman politik.
Tun Dr. Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, bekas Ketua Hakim Negara yang juga
Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diumumkan sebagai penerima
Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1438H/2016M manakala
Allahyarham Datuk Dr. Haron Din diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas
Maal Hijrah.
26 MALAYSIA
2017

