Page 30 - malaysia_2017
P. 30
PENCAPAIAN DAN PERISTIWA PENTING NEGARA
ISTIADAT KEBERANGKATAN BALIK
SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-
PERTUAN AGONG XIV
Raja Berjiwa Rakyat, Tuanku Abdul Halim
Mu’adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah
menamatkan tempoh lima tahun penggal
pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan
Agong XIV dalam upacara penuh simbolik
pada 12 Disember 2016.
Tuanku Abdul Halim yang ditabalkan
sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV pada
11 April 2012, dan Tuanku Hajah Hamimah
berangkat meninggalkan Istana Negara dalam acara ringkas namun penuh
istiadat diraja pada kira-kira pukul 8.20 pagi. Ketika meninggalkan Istana Negara,
Seri Paduka melintasi pasukan kawalan kehormat darjat daripada Unit I Rejimen
Renjer Diraja (RRD), diketuai Mejar Mohamed Zaid Mohamed Tazali, yang turut
mempersembahkan ‘Hormat Diraja’. Serentak itu, lagu Negaraku dimainkan
mengiringi keberangkatan pasangan diraja ke Dataran Parlimen bagi upacara
rasmi keberangkatan pulang Seri Paduka berdua ke Kedah.
Ketibaan Seri Paduka berdua di Dataran Parlimen diiringi tiupan nafiri oleh 14
anggota daripada Pasukan Istiadat Diraja Tentera Darat dan disambut oleh
Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri, Datin Paduka
Seri Rosmah Mansor. Seri Paduka berdua kemudian diiringi ke Pentas Diraja,
melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti persembahan ‘Hormat Diraja’ oleh
pasukan Kawalan Kehormat Utama, disusuli lagu Negaraku oleh Pancaragam
Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Kapten Muhammad Nor Azizan
Yahya. Tuanku Abdul Halim mencipta sejarah apabila menjadi raja pertama yang
memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali termasuk
sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima dari 21 September 1970 sehingga 20
September 1975.
ISTIADAT KEBERANGKATAN TIBA YANG DI-PERTUAN AGONG XV
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah melafaz sumpah memegang jawatan
sebagai Yang di-Pertuan Agong XV dalam upacara penuh adat istiadat di Istana
Negara pada 13 Disember 2016.
Upacara sambutan di ibu negara telah bermula dengan istiadat keberangkatan tiba
Sultan Muhammad V di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9 pagi dengan disambut Menteri Komunikasi dan
Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas
Sambutan serta isteri, Datin Seri Raya Erom.
30 MALAYSIA
2017

