Page 77 - BUKU PROGRAM KONBAYU 2021
P. 77
Keberkesanan Peta Dakap Dalam Meningkatkan Pencapaian
Kemahiran Menulis Karangan Fakta Bahasa Melayu Tahun Empat
Lim Yan Qi, Mastura binti Halim, Ph.D
IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur
lim09-952@epembelajaran.edu.my
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji keberkesanan Peta Dakap dalam meningkatkan pencapaian kemahiran menulis
karangan fakta Bahasa Melayu dalam kalangan murid Tahun 4 di sebuah sekolah kebangsaan. Kajian ini telah
menggunakan reka bentuk kajian kuantitatif dan kaedah kuasi-eksperimen Kajian yang dijalankan ini melibatkan
sebanyak 52 orang murid di sebuah sekolah kebangsaan dalam daerah Seri Petaling, Kuala Lumpur. Sebanyak 26 orang
murid dipilih dari Tahun 4A sebagai kumpulan kawalan manakala 26 orang murid Tahun 4B sebagai kumpulan rawatan.
Pengkaji telah menggunakan ujian pra dan pasca sebagai instrumen kajian. Data yang diperoleh dianalisis dengan
menggunakan Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) Versi 26. Dapatan kajian menunjukkan bahawa
terdapat perbezaan yang signifikan dalam tahap pencapaian kemahiran menulis karangan fakta murid kumpulan rawatan
dengan t = -7.446 dan nilai p = 0.000 (p<0.05). Dapatan kajian ini membuktikan bahawa pengaplikasian Peta Dakap
dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu berupaya meningkatkan pencapaian kemahiran
murid menulis karangan fakta. Maka, dapat disimpulkan bahawa Peta Dakap adalah satu kaedah baharu yang dapat
merangsang murid-murid untuk menjana idea dan memberikan implikasi kepada guru untuk membantu murid-murid
menguasai kemahiran menulis karangan fakta dan meningkatkan tahap pencapaian mereka dalam kemahiran ini.
Kata kunci: Peta Dakap, kemahiran menulis, karangan fakta, kuasi-eksperimen, Bahasa Melayu
---------- +++++ ----------
Kepentingan Pengurusan Jenaka Dalam Masyarakat Melayu
Wan Zaliha binti Wan Othman, Ph.D
Institut Aminuddin Baki, Enstek, Negeri Sembilan
wanzaliha@iab.edu.my
Abstrak
Orang Melayu mempunyai pelbagai cara untuk melahirkan perasaan dan tindakan dalam kehidupan setiap hari. Satu
daripada cara yang digunakan untuk memberikan hiburan kepada masyarakat adalah melalui jenaka. Meletakkan
jenaka sebagai salah satu cara penyampaian yang tidak membebankan masyakarat, membolehkan orang Melayu
menyampaikan mesej dengan santai dan gembira. Artikel ini akan membincangkan kepentingan pengurusan jenaka
dalam masyarakat Melayu dari dahulu sehingga kini. Secara tidak langsung artikel ini membincangkan kebijaksanaan
orang Melayu mengurus penggunaan jenaka dan menyesuaikannya dengan kehidupan. Jenaka yang digunakan turut
menyerlahkan kebijaksanaan orang Melayu mengurus kehidupan dengan memanfaatkan jenaka tersebut. Perbincangan
ini akan menggunakan cerita-cerita tradisional dalam masyarakat Melayu sejak dari zaman dahulu sehinggalah sekarang.
Contoh-contoh jenaka akan diambil daripada cerita-cerita popular yang sering menjadi pertuturan dalam masyarakat
sejak zaman sebelum merdeka sehinggalah kini.
Kata kunci: Pengurusan, Kepentingan, Jenaka, Kebijaksanaan, Melayu
7
KONBAYU KONVENSYEN BAHASA MELAYU 2021 | 27 - 29 JULAI 2021 | IPG KAMPUS BAHASA MELAYU 75

