Page 74 - BUKU PROGRAM KONBAYU 2021
P. 74
Pantun Pak Nazel Mengendong Ilmu
2
1 Azim Normiza Binti Ahmad, Muammar Ghaddafi Bin Hanafiah, Ph.D
1 IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur
2 Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu UKM
azim.normiza@ipgkbm.edu.my
Abstrak
Kajian ini meneliti pantun ciptaan Pak Nazel yang nama asalnya Nazel Hashim Mohamad yang mengendong ilmu menjadi
akar tunjang manusia dalam menjalani kehidupan. Bertitik tolak daripada itu, zaman ini menjanjikan muatan cabaran
reformasi dalam mengejar ilmu. Ilmu disalurkan melalui pendidikan atau pembelajaran peringkat awal. Nilai ilmu yang
terkandung dalam nilai-nilai murni Kementerian Pendidikan Malaysia adalah rasional, kesederhanaan, kejujuran, keadilan,
ketekunan, dan hemah tinggi. Penggunaan pantun-pantun Pak Nazel amat bertepatan untuk menterjemahkan nilai ilmu
dalam pantun. Generasi berilmu menjadi penentu bangsa bertamadun dan berfikir di luar kotak. Ilmu yang dimiliki akan
memartabatkan seseorang di mata masyarakat. Perkara seperti ini tidak datang dengan sendirinya melainkan manusia
yang berilmu diberi tanggungjawab dan peranan utama untuk merancang dan mengurus pembangunan manusia daripada
segi agama dan kepercayaan, politik dan pentadbiran, perniagaan dan perdagangan, manusia dan masyarakat, pendidik
dan sebagainya. Golongan remaja tidak terkecuali untuk mendapat pendedahan awal tentang alam dewasa yang akan
dilalui dan diterokai untuk masa hadapan. Pak Nazel mencipta pantun-pantunnya untuk memberi gambaran yang jelas
tentang kehidupan kini dan akan datang. Pantun-pantun ciptaan Pak Nazel bersifat didikan secara keseluruhannya memberi
impak kepada khalayak pembaca terutama golongan kanak-kanak dan remaja mengambil inisiatif dan ikhtibar di samping
sulaman bait-bait indah dalam pantun-pantun ciptaan beliau. Penggunaan kata-kata yang mudah difahami dan mesej yang
disampaikan dalam maksud-maksud pantun beliau memudahkan saluran penerapan nilai ilmu ini diketengahkan kepada
golongan pelajar khususnya bagi membentuk sahsiah yang unggul dan berperibadi mulia.
Kata kunci: Berilmu, Rasional, Kesederhanaan, Kejujuran, Keadilan, Ketekunan
---------- +++++ ----------
Penguasaan Kemahiran Membaca Bahasa Melayu Dalam Kalangan Murid Peribumi
Celinea Lasan, Ph.D
IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur
celinea@ipgkbm.edu.my
Abstrak
Kajian ini membincangkan penguasaan kemahiran membaca bahasa Melayu dalam kalangan murid peribumi yang
mempengaruhi corak pembelajaran murid pelbagai kaum peribumi di Sarawak. Permasalahan dalam pembelajaran murid
peribumi berkait rapat dengan kelemahan murid menguasai bahasa Melayu sehingga menjejaskan potensi murid dalam
akademik. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kualitatif yang dilaksanakan secara kajian kes dengan melibatkan
pengumpulan data melalui teknik temu bual, pemerhatian, dan analisis kandungan dokum Peserta kajian terdiri daripada
lapan orang murid peribumi di Sekolah Kebangsaan dan empat orang guru bahasa Melayu. Pemilihan peserta kajian
dipilih secara persampelan bertujuan. Pengumpulan data dilakukan melalui temu bual separa berstruktur, pemerhatian
pembelajaran di dalam bilik darjah, analisis dokumen dan nota lapangan pengkaji. Data dianalisis menggunakan perisian
ATLAS.ti Mac versi 1.6.0 (484), dianalisis secara deskriptif dan dipersembahkan dalam bentuk naratif. Dapatan kajian
menunjukkan masalah kemahiran membaca dalam kalangan murid peribumi terarah pada kelemahan memahami isi
kandungan teks yang dibaca iaitu melibatkan kelemahan memahami makna kata dan kelemahan memahami makna ayat.
Murid juga mengalami masalah kelancaran membaca yang melibatkan kelemahan sebutan dan kelemahan membunyikan
tanda baca. Kajian ini memberi implikasi terhadap teori-teori pembelajaran, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di
peringkat sekolah rendah. Selain itu, kajian ini membantu guru-guru bahasa Melayu dalam meningkatkan mutu pengajaran
dan pembelajaran terutamanya apabila berhadapan dengan kumpulan murid peribumi dalam masyarakat kolektivisme di
Malaysia.
Kata kunci: Penguasaan kemahiran, kemahiran membaca, bahasa Melayu dan murid peribumi
KONBAYU KONVENSYEN BAHASA MELAYU 2021 | 27 - 29 JULAI 2021 | IPG KAMPUS BAHASA MELAYU 73

