Page 72 - BUKU PROGRAM KONBAYU 2021
P. 72
Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Tahap Penguasaan Kemahiran Membaca
Bahasa Melayu Dalam Kalangan Murid Orang Asli Semai Sekolah Rendah
Khairulanuar Ismail, Abdul Hadi Mat Dawi, Ph.D, Shamsudin Abu Bakar,
Muhamad Yusni B Mohd Junos, Hj. Abdul Rani Hassan
IPG Kampus Ipoh, Perak
khairulanuar@ipgmipoh.edu.my
Abstrak
Kajian yang dijalankan bertujuan mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi penguasaan kemahiran membaca
Bahasa Melayu berdasarkan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) dalam kalangan murid Orang Asli Semai
sekolah rendah. Kajian ini menggunakan reka bentuk kaedah gabungan iaitu melibatkan pendekatan kajian kuantitatif
dan kajian kualitatif. Peserta kajian terdiri daripada 72 orang murid Orang Asli sekolah rendah tahap 2 dan 6 orang guru
yang berpengalaman mengajar di sekolah Orang Asli. Instrumen kajian yang digunakan adalah satu set soalan kemahiran
membaca Tahap 2 dan 3 KSBM dan Protokol Temu bual. Data-data kuantitatif dikumpul melalui kaedah tinjauan deskriptif
dianalisis menggunakan Perisian SPSS. Manakala data-data kualitatif daripada peserta kajian dianalisis menggunakan
Perisian Nvivo. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap Skor Min Ujian Kemahiran Membaca Bahasa Melayu adalah
12.40 (sisihan piawai = 4.85) iaitu berada pada julat skor tahap sederhana. Dapatan kajian menunjukkan faktor-faktor
utama yang mempengaruhi tahap penguasaan kemahiran membaca yang sederhana iaitu masalah ketidakhadiran
ke sekolah, kesediaan untuk belajar, masalah komunikasi di rumah, dan persekitaran. Selain itu, dapat kajian turut
menunjukkan faktor-faktor yang menjadi punca kelemahan penguasaan kemahiran membaca dalam kalangan murid
Orang Asli Semai sekolah rendah tahap 2 iaitu tidak menguasai kemahiran asas membaca dan menulis, selalu tidak
hadir ke sekolah, dan tiada bimbingan di rumah. Akhirnya, beberapa cadangan telah dikenal pasti dan dikemukakan
bagi meningkatkan penguasaan kemahiran membaca Bahasa Melayu dalam kalangan murid Orang Asli Semai sekolah
rendah.
Kata kunci: Kemahiran membaca, Kerangka Standard Bahasa Melayu, murid Orang Asli Semai, Sekolah Rendah
Tahap 2
---------- +++++ ----------
Pola Susunan Maklumat Dalam Penulisan Ilmiah Pelajar Institut Pendidikan Guru
Rabahyah binti Tahir, Ph.D, Abd Hadi bin Kudin, Ph.D, Faridah binti Abdullah@Muda, Ph.D,
Badriyatun binti Kamar, Mohamad Radzi bin Salleh
Jabatan Pengajian Melayu,
IPG Kampus Pendidikan Teknik, Labu, Negeri Sembilan
rabahyah.tahir@pendidikguru.edu.my
Abstrak
Menghasilkan penulisan ilmiah yang baik memerlukan kebijaksanaan menyusun idea dan maklumat dalam perenggan.
Seterusnya, susunan idea mengikut perenggan juga harus menampakkan pertautan dan kesepaduan maklumat yang
ingin disampaikan. Sehubungan dengan itu, penulisan ilmiah yang utuh dalam aspek kohesi dan koheren menyebabkan
penulisan tersebut mempunyai tahap kebolehbacaan yang tinggi. Oleh itu, kajian ini untuk mengenal pasti, menganalisis
dan merumuskan pola susunan maklumat dalam penulisan ilmiah pelajar di sebuah institut pendidikan guru. Kajian
ini merupakan kajian kualitatif dan menggunakan penulisan ilmiah yang telah dihasilkan oleh 20 orang pelajar bukan
Melayu sebagai data kajian. Data tersebut dianalisis menggunakan Pola Tematik Model McCabe (1999) dan Danes
(1974). Berdasarkan kajian ini didapati bahawa pelajar menyusun maklumat menggunakan pola tematik kekal, linear,
rencam, tema daripada perincian pecahan rema dan tema daripada hipertema dalam penulisan ilmiah. Di samping
itu, berdasarkan kajian ini juga didapati bahawa wujudnya sisipan tema yang tidak beraliran dalam susunan maklumat
penulisan ilmiah.
Kata kunci: susunan maklumat, penulisan ilmiah, pola tematik
KONBAYU KONVENSYEN BAHASA MELAYU 2021 | 27 - 29 JULAI 2021 | IPG KAMPUS BAHASA MELAYU 71

