Page 97 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 97

Cecair
               Menerangkan  sifat  cecair  iaitu  bentuk,  isi  padu,  tegangan  permukaan,  kelikatan  dan
               penyerapan.
               Menerangkan proses kondensasi serta mengaitkannya dengan Teori Kinetik Molekul dan daya
               antara molekul.
               Menerangkan hubungan antara daya antara molekul terhadap tekanan wap dan tekanan wap
               terhadap takat didih.
                                                                              (Bahagian Matrikulasi, 2017)

                       Keupayaan pelajar menerangkan proses, menghubung kait antara pemboleh ubah dan
               meramal disokong oleh pengalaman pembelajaran pelajar (Beskeni, Mohd Yusuf Ismail, &
               Mohamad,  2011;  Chin  &  Brown,  2000;  Mäeots  &  Pedaste,  2014).  Tinjauan  literatur  yang
               dijalankan mendapati banyak kajian telah dijalankan untuk memperbaiki amalan pengajaran
               sains dan kimia bertujuan untuk membantu pelajar membina kefahaman konseptual (Abdullah
               & Osman, 2010; Osman & Sukor, 2013; Taber, 2013). Walau bagaimanapun, masih kurang
               kajian yang menumpukan kepada aspek pembinaan pengalaman pembelajaran yang bermakna.
               Pengalaman pembelajaran merupakan aspek penting yang mempengaruhi pembelajaran pelajar
               (Cullen,  2015;  Perkins  et  al.,  2015;  Tishman,  2000).  Selain  itu,  tinjauan  literatur  turut
               mendapati masih belum terdapat kajian dalam kalangan pensyarah matrikulasi yang berfokus
               kepada  subtopik  cecair.  Situasi  ini  memberikan  ruang  kajian  baharu  untuk  diteroka  oleh
               penyelidik.
                       Pembelajaran flip merupakan strategi pengajaran berasaskan pembelajaran inkuiri yang
               menggalakkan  pelajar  membina  kefahaman  konseptual  melalui  pelbagai  sumber  untuk
               mencapai  objektif  pengajaran  (Jensen  &  Greenfield,  2012).  Pembelajaran  flip  memberikan
               kebebasan kepada pelajar meneroka dan mencari maklumat daripada pelbagai sumber untuk
               membina  makna  terhadap  perkara  yang  mereka  pelajari  (Kapon,  2017).  Pelajar  diberikan
               kebebasan  untuk  menterjemah  pengetahuan  yang  mereka  peroleh  dari  pelbagai  sumber
               mengikut kreativiti mereka dan dikongsi bersama rakan-rakan semasa sesi tutorial. Ini sekali
               gus dapat membantu pelajar meningkatkan kemahiran berfikir kreatif dan kritis, meningkatkan
               kolaborasi dalam kumpulan, kemahiran komunikasi dan kemahiran menyelesaikan masalah
               bukan rutin (Abdullah & Osman, 2010; Kapon, 2017). Manakala pensyarah akan bertindak
               sebagai pemudah cara.
                                          REFLEKSI PENGAJARAN LEPAS

                       Berdasarkan  pengalaman  sebagai  pensyarah  kimia,  penyelidik  mendapati  pelajar
               kurang berminat untuk mempelajari subtopik cecair kerana subtopik ini memerlukan pelajar
               mengingat beberapa fakta dan menerangkan proses secara saintifik. Ini dapat dilihat melalui
               pemerhatian  yang  dijalankan  semasa  di  dewan  kuliah  dan  semasa  kelas  tutorial.  Semasa
               mengikuti kuliah dan tutorial subtopik cecair, pelajar didapati kurang memberikan tumpuan
               dan lebih berminat untuk menyalin jawapan yang diberikan oleh pensyarah. Semakan terhadap
               jawapan tutorial pelajar sebelum perbincangan mendapati hampir 50% pelajar hanya menjawab
               soalan tutorial yang berkaitan nota kuliah sahaja dan tidak mencuba untuk menjawab soalan-
               soalan yang melibatkan aplikasi konsep kimia terhadap fenomena yang dinyatakan. Apabila
               pensyarah mengajukan soalan-soalan seperti:

                     Mengapa madu lebih sukar mengalir berbanding air?
                     Terangkan proses pembentukan kabus pada permukaan kaca di tempat sejuk?
                     Berikan contoh aplikasi kelikatan atau tegangan permukaan dalam kehidupan?




                                                            88
   92   93   94   95   96   97   98   99   100   101   102