Page 105 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 105
masyarakat. Fenomena guru tidak kompeten dalam melaksanakan pentaksiran telah
mendatangkan pelbagai kesan negatif.
Talib & Ghafar (2008) telah mengemukakan beberapa isu berkaitan kualiti pentaksiran
yang bersabit dengan amalan dan nilai pentaksiran oleh guru. Antara dapatan mereka bahawa
guru-guru didapati gagal memantau kemajuan pembelajaran murid, tidak dapat menghasilkan
keputusan yang adil, tidak dapat merancang pengajaran secara berkesan, gagal memberi motivasi
seterusnya menjejaskan potensi diri murid. Guru didapati melaporkan kepada ibu bapa dan murid
secara tidak tepat, kesan dari tindak laku tersebut telah menimbulkan ketidakpercayaan dan
keraguan dalam kalangan ibu bapa. Stiggins (2002) dan Mertler (2004) telah memperkukuhkan
kenyataan dengan menyatakan kualiti pentaksiran dipersoalkan oleh pelbagai pihak kerana
akauntabiliti pentaksiran gagal dilaksanakan sepenuhnya.
Apa pun masalah yang berlaku, pentaksiran akan tetap dilaksanakan untuk mengukur
tahap pencapaian murid yang ada dan pada masa yang sama pentaksiran berperanan untuk
menghasilkan pembelajaran yang lebih bermakna (meaningful learning) (Black & Wiliam 1998b;
Stiggins, 2007). Guru perlu melihat pentaksiran itu sebagai multidimensi proses yang memerlukan
perbincangan secara berstruktur semasa membina pentaksiran, kognisi kawalan kendiri murid
perlu diambil kira dan yang paling penting kuasa autonomi yang diberikan kepada murid memberi
peluang kepada murid untuk menjawab soalan yang diajukan berdasarkan kepada tahap
kemahiran yang sepatutnya dimiliki oleh murid tersebut (Vonderwell, Liang & Alderman, 2007).
PENTAKSIRAN UNTUK PEMBELAJARAN (ASSESSMENT FOR LEARNING)
Pelbagai cara pentaksiran diamalkan dalam pendidikan (Suah et al., 2007). Mengikut
Assessment Reform Group (ARG) (2002) dan Black & Wiliam (1998a) menjelaskan terdapat dua
tujuan utama proses pentaksiran dijalankan di sekolah yang pertama adalah untuk memberi gred
dan pelaporan yang dikenali sebagai pentaksiran terhadap pembelajaran (assessment of learning)
dan yang kedua bertujuan untuk menggalakkan pembelajaran yang dikenali pentaksiran untuk
pembelajaran (assessment for learning).
Perkara terbaik yang menjadi perhatian hari ini adalah penggunaan pentaksiran dalam
membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran adalah sebahagian daripada strategi
pengajaran dan pembelajaran dan bukannya tugas tambahan. Pengajaran, pembelajaran dan
pentaksiran tidak boleh dipisahkan dan tidak boleh dilihat secara berasingan atau bersendirian.
Tujuan utama pentaksiran bukan hanya untuk membuat keputusan, tetapi memberi sokongan dan
dijadikan mekanisme yang positif bagi membantu murid untuk membaiki atau meningkatkan
pembelajaran; manakala bagi guru bertujuan untuk membaiki pengajaran (Black & Wiliam,
1998b).
Mengikut Marianne (2010) pentaksiran untuk pembelajaran (PuP) juga dikenali sebagai
pentaksiran bilik darjah, pentaksiran formatif dan pentaksiran deskriptif. Untuk menjayakan
pentaksiran ini ia memerlukan sumbangan yang aktif dari guru dan juga murid (Brown, 2008).
Matlamat PuP ini adalah untuk memberi maklum balas awal kepada murid, guru, dan keluarga
tentang kemajuan pembelajaran murid namun yang penting adalah untuk guru melakukan
penambahbaikan dalam proses pengajaran, meningkatkan motivasi, atau mengubah tingkah laku
murid dengan memberi impak kepada pertumbuhan dan perkembangan pembelajaran murid
(Wiggins, 2007).
PuP berfungsi untuk mengesan masalah pembelajaran, melihat kemajuan dan
pencapaian murid di sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran (Huhta, 2010). Ia lebih
bersifat kepada amalan harian bagi guru, murid dan rakan sebaya dalam pembelajaran (Klenowski,
95

