Page 163 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 163

Logik [lo.gik] (logic)

                       Terdapat  hanya  1  responden  yang  menyebut  kata  ini  secara  baku  iaitu  ‘logik’.
               Manakala 21 responden menyebutnya secara bunyi asing iaitu ‘lojik’. Dari segi semantiknya,
               ‘logik’ bermaksud munasabah iaitu sesuatu perkara yang dapat diterima akal (KDE 4, 2005).
               Dari sudut pemikiran, ‘logik’ berasal dari perkataan Yunani iaitu "Logos" memberi maksud
               pengucapan  (utterance),  pernyataan  (statement),  pemikiran  (thought)  dan  pemikiran  akal
               (reason)  iaitu  sebab.  Logik  juga  adalah  cara  mempelajari  prinsip-prinsip  yang  digunakan
               untuk membezakan betul dan salah sesuatu hujah (reasoning).
                       Pemikiran secara logik ialah cara seseorang melihat sesuatu dan daya usaha untuk
               mengenal pasti apa yang salah dan apa yang betul mengikut logiknya. Edward de Bono,dalam
               bukunya,Thinking  Course,  menyatakan  bahawa  logik  ialah  satu  cara  menjana  maklumat
               daripada  sesuatu  keadaan.  Maklumat  yang  hendak  dijana  ialah  sesuatu  yang  benar  dan
               diterima akal. Berasakan kefahaman ini boleh dirumuskan bahawa berfikiran logik ialah suatu
               proses pemikiran yang cuba mencari maklumat, ilmu, data dan fakta mengenai kebenaran
               sesuatu  perkara.  Dengan  kata  lain,  logik  bermaksud  alasan  yang  dikemukakan  untuk
               mengukuhkan  sesuatu  keadaan  kebenaran  yang  boleh  diterima  oleh  akal.  Contoh  ayat:
               Tertuduh dalam kes rompakan itu sering memberikan pernyataan yang tidak lojik semasa
               berada di kandang pesalah.
                       Selain itu, kebanyakan pemikiran yang betul dari segi logik akal terbukti salah jika
               dilihat dari sudut realiti alam dan kehidupan sebenarnya. Logik tentang sesuatu perkara dari
               segi akal manusia semata-mata juga disebut logik matematik  manakala logik  berdasarkan
               realiti alam sebenarnya juga disebut logik natural atau logik alam. Logik sangat berguna dalam
               pembentangan hujahan iaitu apabila seseorang hendak mencari kesimpulan atau deduktif dan
               untuk mempertahankan hujah tentang sesuatu idea, cadangan dan pandangan; malah ia juga
               digunakan apabila hendak mencari sebab dan akibat tentang sesuatu perkara dengan perkara
               lain dan satu peristiwa dengan peristiwa yang lain.

                                                 Panik [pa.nik] (panic)

                       Untuk perkataan panik, KDE 4 (2005) mentafsirkannya sebagai suatu keadaan cemas,
               bimbang, gelisah, dan sebagainya yang datang dengan tiba-tiba. Contoh ayat: Orang muda
               yang panik itu telah berlari menuju ke belukar untuk melarikan diri daripada pihak polis yang
               mengejarnya. Berdasarkan USK, tiada seorang pun responden menyebut kata ‘panik’ secara
               baku.  Semua  menggemari  sebutan  asing  iaitu  ‘penik’.  Kejanggalan  sebutan  baku
               menyebabkan semua responden lebih suka sebutan asing berbanding sebutan dengan lidah
               Melayu asli. Dari sudut semantiknya kata ini merujuk perasaan takut secara tiba-tiba yang
               begitu  kuat  sehingga  menguasai  atau  menghalang  pemikiran  waras  dan  logik;
               menggantikannya dengan perasaan cermas yang amat melampau dan gelisah serta tergesa-
               gesa. Panik boleh berlaku secara bersendirian bagi individu atau wujud secara tiba-tiba dalam
               kumpulan besar sebagai panik pukal (berkait rapat dengan tingkah laku kumpulan).

                                              Alumni [a.lum.ni] (alumni)

                       Kata ini terkenal dalam kalangan pelajar di peringkat tinggi. Mengikut KDE 4 (2005),
               alumni bermaksud siswazah atau lepasan maktab atau universiti. Dalam kalangan responden
               semuanya menggemari sebutan asing iaitu ‘a.lum.nai’. Tiada yang menyebutnya secara baku.
               Berdasarkan  semantik,  ‘alumni’  bermaksud  siswazah  atau  lepasan  sesebuah  institusi
               pengajian  tinggi.  Apabila  keluar  daripada  mana-mana  institusi  pembelajaran,  sama  ada
               pelajar, kakitangan atau penyumbang, maka mereka diklasifikasikan sebagai seorang alumni.


                                                           153
   158   159   160   161   162   163   164   165   166   167   168