Page 43 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 43
Kajian ini mendapati pembinaan pengetahuan metakognitif tidak menjadi ciri pengajaran
dan pembelajaran kimia lantaran ia tidak disebut dalam huraian sukatan pelajaran. Menurut
Chaojie Yang, Duijun Zhang, Yajing Lu dan Fujun Ma (2012), dalam pengajaran dan
pembelajaran sebenar, adalah perlu pengetahuan metakognitif pelajar diperkembangkan juga
walaupun ia tidak disebut dalam panduan kandungan pelajaran piawai. Dan menurut Pintrich
(2002) pula, oleh kerana pengetahuan metakognitif secara umumnya memberi kesan positif
kepada pembelajaran pelajar, adalah perlu ia diajar secara eksplisit untuk memudahkan
perkembangannya. Oleh yang demikian, langkah perlu diambil untuk mengintegrasikan
pembinaan dan penghayatan pengetahuan metakognitif secara sistematik dan bermatlamat bagi
kursus kimia organik ini khususnya dan program matrikulasi amnya.
KESIMPULAN
Kajian ini berjaya mencirikan huraian sukatan pelajaran tajuk-tajuk Kimia Organik
Matrikulasi berdasarkan analisis dua dimensi Taksonomi Bloom. Antara ciri-ciri yang dikenal
pasti adalah:
i. Berdasarkan dimensi proses kognitif huraian sukatan pelajaran bertumpu pada hasil-hasil
pembelajaran aras rendah (mengingati dan memahami) dan sederhana (mengaplikasi dan
menganalisis).
ii. Berdasarkan dimensi jenis pengetahuan huraian sukatan pelajaran bertumpu pada hasil-
hasil pembelajaran jenis pengetahuan fakta, konsep dan prosedur sahaja. Tiada hasil
pembelajaran jenis pengetahuan metakognitif disebutkan.
iii. Berdasarkan jadual taksonomi yang dibina didapati huraian sukatan sukatan tidak
merangkumi domain proses-proses kognitif dan jenis pengetahuan dengan menyeluruh.
Secara umumnya didapati kursus kimia organik program matrikulasi ini berpotensi membina
pengetahuan kimia organik asas selaras dengan matlamatnya untuk menyediakan pelajar untuk
kursus-kursus bidang sains dan teknologi di peringkat universiti. Kajian turut menunjukkan kursus
menekankan pembinaan pengetahuan konsep yang luas. Namun begitu ketiadaan pernyataan
berkaitan pengetahuan metakognitif menimbulkan persoalan sejauh mana huraian sukatan
pelajaran ini boleh dijadikan panduan dalam membina kemahiran metakognitif pelajar dan
memperkembangkan kemahiran belajar. Oleh yang demikian, terdapat keperluan untuk
menambahbaik pengajaran dan pembelajaran kursus kimia organik dengan cara-cara berikut:
i. Pengetahuan meta kognitif dan pembinaannya perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Huraian sukatan pelajaran boleh memperincikan lagi aktiviti dan amalan yang boleh
dilakukan dan meningkatkan pengetahuan metakognitif dan kemahiran belajar pelajar.
Guru, pentadbir dan pelajar harus bertindak selaras dengan kesedaran bahawa matlamat
mempelajari kimia tidak harus terbatas kepada mempelajari fakta, konsep dan prosedur
berkaitan kimia sahaja tetapi juga menjadikan pelajar pemikir terlatih yang mampu belajar
secara berdikari dan berfikir secara strategik.
ii. Pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan kemahiran berfikir aras tinggi perlu
dipertingkatkan. Di sini dicadangkan pengajaran dan pembelajaran dalam kerangka sedia
ada beralih kepada kerangka “flipped learning” di mana beban pembelajaran aras rendah
dipindahkan kepada pelajar di luar bilik darjah agar guru dapat memudahcara cara
pembelajaran yang melibatkan pemikiran aras tinggi dan memperkembangkan pengetahuan
metakognitif semasa pembelajaran bersemuka.
33

