Page 65 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 65
berkeperluan khas serta kesannya kepada pembelajaran masih perlu diketahui oleh semua guru
supaya dapat merancang dan melaksanakan pedagogi inklusif dengan berkesan.
CABARAN KE ARAH PEDAGOGI INKLUSIF
Umumnya, amalan pedagogi inklusif masih berada pada tahap permulaan. Hal ini disebabkan
oleh pelbagai faktor. Salah satunya ialah kebanyakan guru arus perdana masih belum bersedia
menerima murid berkeperluan khas sebagai ahli komuniti dalam kelas mereka. Tambahan lagi,
terdapat satu trend yang amat merungsingkan dan bercanggah dengan amalan pedagogi
inklusif, iaitu penolakan dan penyingkiran murid arus perdana ke kelas khas berdasarkan
sebab-sebab yang tidak relevan, seperti murid yang tercicir dalam pelajaran dan murid yang
mempunyai masalah tingkah laku, seperti tidak boleh duduk diam ataupun suka mengganggu
kawan (Lee & Low, 2014). Tanggungjawab guru arus perdana adalah berikhtiar supaya murid
yang tercicir menerima pembelajaran di dalam kelasnya, dan tanggungjawab guru arus perdana
adalah untuk mengamalkan strategi mengurus tingkah laku murid. Penolakan dan penyingkiran
murid arus perdana ke kelas khas merupakan sikap ambil mudah guru-guru. Sikap ambil mudah
ini mungkin disebab oleh kekurangan pengetahuan dan kemahiran guru dalam mengamalkan
pedagogi inklusif. Di samping itu, salah satu lagi faktor penghalang amalan pedagogi inklusif
mungkin disebab terdapat guru pendidikan khas yang masih kurang keyakinan untuk
melaksanakan pengajaran inklusif di dalam kelas arus perdana. Hakikatnya, kepakaran guru
pendidikan khas dalam menyesuaikan isi kandungan dengan kaedah pengajaran yang pelbagai
memang diperlukan di dalam kelas inklusif. Kedua-dua pihak, iaitu guru arus perdana serta
guru pendidikan khas perlu bekerjasama untuk menjayakan amalan pedagogi inklusif.
Oleh hal yang demikian, semua guru pelatih perlu mendapat pengetahuan dan
kemahiran pedagogi inklusif semasa menjalani latihan perguruan mereka. Bersesuaian dengan
kehendak semasa, Institut Pendidikan Guru Malaysia dan beberapa universiti awam di
Malaysia telah mengorak langkah mewajibkan kursus seperti pendidikan inklusif di dalam
program perguruan mereka. Perkembangan ini merupakan satu petanda yang baik dan
merupakan kriteria asas untuk merealisikan sasaran polisi negara, iaitu mewujudkan
persekitaran pembelajaran yang inklusif untuk semua murid belajar dalam suasana yang
harmoni dan adil.
Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa sesetengah murid berkeperluan khas
mungkin memerlukan terapi khas seperti terapi pertuturan dan terapi cara kerja dan juga
pengajaran yang lebih intensif untuk meningkatkan lagi tahap keupayaan mereka. Hal ini tidak
boleh dijadikan sebagai alasan untuk guru tidak mengamalkan pedagogi inklusif di dalam
kelas. Semasa di sekolah, semua murid termasuk murid berkeperluan khas berhak untuk
menerima pendidikan di arus perdana dengan penerapan pedagogi inklusif. Terapi tambahan
yang mereka perlukan itu mungkin boleh dilaksanakan di luar masa persekolahan dan
diuruskan oleh pihak lain seperti ibu bapa.
PENUTUP
Pedagogi inklusif merupakan satu amalan terbaik bagi menyediakan pendidikan kepada semua
murid. Amalan ini membuka peluang kepada semua murid termasuk murid berkeperluan khas
untuk mendapat manfaat sepenuhnya daripada pendidikan inklusif yang dilaksanakan di
sekolah. Oleh itu, guru perlu berinisiatif untuk menguasai pedagogi inklusif agar tidak berlaku
konflik psikologi apabila terlibat dengan kelas pendidikan inklusif nanti.
55

