Page 70 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 70
awal sebagai sebahagian daripada pendidikan yang diperlukan oleh kanak-kanak kurang upaya.
Perkembangan dalam program intervensi awal dapat memastikan kanak-kanak kurang upaya
mendapat faedah yang optimum. Secara amnya intervensi awal telah didefinisikan oleh P.W.
Wright and P.D. Wright (2008) sebagai:
“ ... process of providing services, education, and support to young children
who are deemed to have an established condition, those who are evaluated and
deemed to have a diagnosed physical or mental condition (with a high
probability of resulting in a developmental delay), an existing delay or a child
who is at-risk of developing a delay or special need that may affect their
development or impede their education.”
Perkembangan dalam intervensi awal juga dikesan di Malaysia iaitu Akta Orang
Kurang Upaya (OKU) 2008 yang telah memberi penegasan di bawah para 36. (1) bertajuk:
Pencegahan daripada berlakunya ketidakupayaan selanjutnya. Seterusnya dijelaskan oleh
perkara 36. (1) (b) pengesanan awal ketidakupayaan dan intervensi yang tepat pada masanya
untuk mencegah ketidakupayaan dan rawatan bagi rehabilitasi. Dasar yang ditambah baik
menunjukkan kepentingan dan keperluan intervensi awal bagi kanak-kanak kurang upaya
untuk memaksimumkan potensi mereka untuk belajar. Program intervensi awal yang berkesan
mampu menghindari atau mencegah daripada masalah ketidakupayaan individu kurang upaya
dari bertambah teruk dan menghalang mereka berfungsi dalam kehidupan harian.
Dalam melaksanakan pendidikan awal bagi MBK, intervensi awal dan khidmat
sokongan yang sesuai perlu diberikan kepada MBK agar dapat meminimumkan kesan
ketidakupayaan sedia ada, mengurangkan risiko peningkatan ketidakupayaan yang lain serta
meningkatkan tahap kebolehan sedia ada melalui kaedah terapi dan juga pengajaran dan
pembelajaran (Ghani & Ahmad, 2012). Intervensi awal adalah sangat penting bagi MBK
terutamanya yang mempunyai masalah pembelajaran dalam membantu mereka untuk
menyesuaikan diri di sekolah (Dunst et al.,2001b). Oleh sebab itu, intervensi seawal yang boleh
perlu diberikan kepada MBK agar mereka dapat mencapai perkembangan yang optimum.
MODEL PROGRAM INTERVENSI
Strategi dan model program intervensi adalah berbeza bergantung kepada keperluan kanak-
kanak kurang upaya dan keluarga mereka. Odom et al. (2003) menyatakan bahawa strategi
yang melibatkan ibu bapa didapati memberi kesan yang positif khususnya bagi kanak-kanak
yang mempunyai masalah autisme atau Autisme Spectrum Disorder (ASD). Menurut Dawson
et al. (2010), terdapat program intervensi awal yang berasaskan klinikal dan dilakukan di rumah
oleh ibu bapa dengan dibantu oleh pakar klinikal. The Early Start Denver Model (EDSM)
merupakan salah satu program intervensi berasaskan klinikal yang digunakan secara meluas di
Amerika Syarikat. Kajian Dawson dan rakan mendapati ESDM dan penglibatan ibu bapa
berjaya membantu perkembangan kognitif dan tingkah laku yang positif.
Model Denver juga telah diadaptasikan oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan
Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mengenal pasti dan menentukan tahap
perkembangan dan kecacatan kanak-kanak kurang upaya dan merancang program latihan atau
intervensi melalui Denver Developmental Screening Test (DDST). Versi DDST II memberi
fokus kepada empat domain perkembangan iaitu kemahiran sosial, motor halus, bahasa dan
motor kasar. Aspek kemahiran sosial meliputi interaksi dan menyayangi orang manakala
kemahiran motor halus pula meliputi koordinasi mata dan tangan, manipulasi objek serta
menyelesaikan masalah. Sementara itu, aspek bahasa meliputi pendengaran, kefahaman dan
penggunaan Bahasa. Kemahiran motor kasar pula meliputi aksi duduk, berjalan, melompat dan
keseluruhan gerakan otot.
60

