Page 74 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 74
vi) The National Association for the Education of Young Children (NAEYC), dan
vii) Zero TO THREE telah mengeluarkan standard kompetensi berikut:
a. Kompeten dalam melaksanakan kolaboratif dan penyelarasan (Collaboration &
Coordination).
b. Kompeten dalam melaksanakan amalan secara ‘Family-Centered Practice’.
c. Kompeten dalam melaksana intervensi secara kajian kes (bukti) atau
‘Interventions as Informed by Evidence’.
d. Kompeten dalam mematuhi kod etika dan profesional semasa menjalankan
tugas.
CABARAN KURIKULUM PRASEKOLAH PENDIDIKAN KHAS
Intervensi awal atau ‘Early Childhood Intervention (ECI)’ telah menjalani evolusi dengan idea
dan teori serta konsep baharu melibatkan profesional dalam bidang kesihatan, pendidikan dan
sains sosial khususnya psikologi yang terlibat secara langsung. Pada peringkat awal program
ECI lebih berfokuskan kepada kanak-kanak tetapi kini fokus diberikan kepada keluarga dan
komuniti (Blackman, 2003). Perkembangan ini juga memberi impak kepada kurikulum dengan
penekanan baharu kepada aspek kehidupan.
Perkhidmatan intervensi awal perlu berlaku seawal yang boleh agar seseorang MBK
dapat berkembang secara optimum. Oleh itu, ibu bapa dan keluarga memainkan peranan utama
untuk mengenal pasti dan merancang program intervensi awal yang diperlukan oleh anak
kurang upaya mereka. Namun, kebanyakan ibu bapa tidak mempunyai ilmu dalam mengendali
anak-anak kurang upaya ini (Kandel and Merrick, 2003). Oleh sebab itu, guru secara tidak
langsung memainkan peranan yang penting untuk mengenal pasti dan merancang program
intervensi awal yang diperlukan oleh MBK apabila mereka ke alam persekolahan iaitu seawal
peringkat prasekolah. Namun, dukacitanya masih ramai guru yang kurang mahir dalam
melaksanakan aktiviti intervensi awal kepada MBK. Selain itu, guru mempunyai kesukaran
dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut kurikulum pendidikan khas
kerana kepelbagaian keupayaan murid di dalam satu kelas. Menurut Hasnah, Yasin & Salleh
(2010), guru pendidikan khas prasekolah kurang diberi akses latihan tentang teknik terkini
dalam mendidik MBK. Oleh yang demikian, guru menjadi tidak yakin kerana teknik yang
digunakan tidak memberi impak yang banyak kepada kemajuan murid. Mereka seharusnya
diberi latihan kemahiran mengurus anak kurang upaya dari aspek tingkah laku, emosi, kognitif
dan lain-lain dibantu untuk meningkatkan kemahiran mereka (Kandel and Merrick, 2003).
Kajian oleh Bari, Abdullah, Abdullah dan Yasin (2016) mendapati guru prasekolah
pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) memahami keperluan
intervensi awal bagi meningkatkan perkembangan kognitif, bahasa, komunikasi, sosial, emosi
dan kemahiran motor. Namun mereka tidak mempunyai kemahiran dalam melaksanakan
aktiviti intervensi di sekolah kerana tidak pernah didedahkan dan dilatih dalam melaksanakan
intervensi awal. Penekanan tidak diberikan kepada pihak sekolah untuk melaksanakan
intervensi awal. Guru dalam kajian tersebut juga menyatakan aspek dan elemen intervensi awal
perlu dimasukkan ke dalam kurikulum. Guru boleh menjalankan intervensi berdasarkan kepada
fleksibiliti yang diberikan oleh Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013,
namun guru kurang mahir dari segi membuat pengubahsuaian dan modifikasi yang diperlukan
kerana tiada garis panduan yang disediakan. Guru berpandangan bahawa gabungan elemen
intervensi awal dan dijelmakan dalam kurikulum boleh dijadikan sebagai satu garis panduan
yang jelas untuk guru melaksanakan pengajaran di sekolah dengan lebih baik.
Intervensi awal ini sebenarnya boleh dilakukan di peringkat tahap sekolah (contohnya
melalui kurikulum) ataupun secara individu (Burns & Riley-Tillman, 2009). Namun di
Malaysia, tidak wujud sistem sokongan bagi pelaksanaan saringan dan intervensi awal untuk
64

